KUALA LUMPUR 23 Feb - TheNoor (Noor Luminous Sdn Bhd) menjalin kerjasama dengan lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terkemuka Indonesia bagi memudahkan umat Islam melakukan amal jariah secara digital seperti pembayaran zakat, wakaf, infaq dan sedekah melalui aplikasi mudah alih TheNoor.
Kelima-lima NGO terbabit, termasuk Yayasan Dompet Dhuafa Republika, Yayasan Inisiatif Zakat Indonesia, Yayasan Panti Yatim Indonesia Al- Fajr, Yayasan Asar Humanity dan Yayasan Rumah Zakat Indonesia.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif TheNoor, Mohd Izzairi Yamin berkata, pihaknya berharap lebih ramai umat Islam di seluruh dunia melakukan komitmen amal jariah melalui teknologi, seterusnya mengubah serta memperkukuhkan ibadat dan iman mereka.
Beliau berkata, dengan sentuhan jari, aplikasi itu memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk mengira jumlah bayaran dan menyempurnakan amal sedekah mereka.
“Memandangkan Ramadan yang mulia semakin hampir, perkongsian ini adalah tepat pada masanya. Aplikasi TheNoor mudah digunakan supaya lebih ramai umat Islam di Indonesia boleh membuat sumbangan amal mereka dari mana-mana dan bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aplikasi TheNoor menawarkan umat Islam kaedah yang lebih dipercayai, lancar dan pantas untuk membuat pembayaran amal seperti sedekah atau derma sepanjang tahun.
Ia juga menawarkan pendekatan yang telus menggunakan transaksi digital, memberikan jaminan kepada penderma bahawa sumbangan mereka disalurkan kepada penerima yang layak, justeru memberikan lebih ketenangan fikiran.


Dengan fungsi kalkulator dalam aplikasi, penderma juga akan dapat mengira jumlah derma, zakat atau sedekah yang mereka lakukan dan seterusnya melakukan pembayaran serta-merta.
Selaras dengan strateginya memanfaatkan pasaran yang berkembang pesat, kemasukan TheNoor ke Indonesia mengukuhkan pencapaian pertamanya dalam rancangan pertumbuhan perniagaan akan datang selepas mencatat kejayaan dalam pusingan pengumpulan dana pada Oktober 2022.
Sementara itu, Pengarah Penyumberan Mobilisi Yayasan Dompet Dhuafa Republika, Etika Setiawanti berkata, jumlah pengguna telefon pintar di Indonesia dijangka mencecah 269 juta menjelang 2028.
"TheNoor memudahkan amalan sedekah untuk rakyat Indonesia, terutamanya ia dilengkapi alat pengiraan yang akan meyakinkan mereka untuk membayar dalam jumlah yang betul mengikut undang-undang Islam Indonesia," katanya.

Ketua Pegawai Pemasaran Yayasan Rumah Zakat Indonesia, Didi Sabir pula memaklumkan, umat Islam yang ingin melaksanakan sumbangan amal sebelum ini perlu mengunjungi pusat-pusat pengumpulan derma hampir setiap bulan bagi membuat sumbangan.
"Bagaimanapun dengan TheNoor, keseluruhan proses boleh diselesaikan dalam masa kurang seminit. Ini menjadikan ibadat derma dapat dilakukan dengan lebih mudah, menggalakkan lebih ramai penderma menderma, seterusnya meningkatkan sumber kewangan kami agar dapat membantu lebih ramai golongan memerlukan," katanya. - DagangNews.com








