Tetamu Airbnb belanja RM7 bilion di Malaysia pada 2022, sokong hampir 57,000 pekerjaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tetamu Airbnb belanja RM7 bilion di Malaysia pada 2022, sokong hampir 57,000 pekerjaan

Kota Kinabalu, Sabah antara lokasi yang menjadi tumpuan pelancong
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Okt - Tetamu Airbnb telah membelanjakan lebih kurang RM7 billion di Malaysia pada tahun 2022, merangkumi pembelian di restoran, kedai runcit dan pengangkutan, menjadikannya tonggak penting dalam industri pelancongan Malaysia dan berperanan penting dalam sumbangan industri kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan pekerjaan.

 

Memetik laporan Oxford Economic, Airbnb berkata aktiviti di platformnya menyumbang lebih RM5 bilion kepada KDNK Malaysia dan menyokong hampir 57,000 pekerjaan pada 2022, mewakili kira-kira 4.9% daripada sumbangan industri pelancongan kepada KDNK.

 

Sebahagian besar perbelanjaan tetamu Airbnb di Malaysia adalah di luar perbelanjaan penginapan mereka, dengan perbelanjaan untuk kategori bukan penginapan adalah lebih enam kali ganda daripada perbelanjaan tetamu Airbnb untuk penginapan.

 

Lima negeri dan wilayah Malaysia yang paling banyak mendapat manfaat daripada aktiviti Airbnb ialah Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Sabah. Di Selangor khususnya, perbelanjaan tetamu Airbnb meningkat kepada kira-kira RM1 bilion pada tahun 2022, meningkat 85% berbanding tahun 2019.

 

Pada 2022, sebahagian besar tetamu Airbnb yang menginap di Malaysia ialah pelancong domestik, yang membentuk 81% daripada jumlah tetamu di Malaysia, meningkat daripada 63% pada 2019.

 

Seiring dengan perkembangan pelancongan domestik, perbelanjaan tetamu domestik Airbnb pada 2022 mencatat jumlah hampir RM4 bilion, merangkumi kira-kira 58% daripada jumlah perbelanjaan tetamu Airbnb di Malaysia, meningkat daripada 35% pada 2019.

 

Laporan ini juga meneroka dua perubahan besar dalam tingkah laku perjalanan pelancongan sejak pandemik – penyebaran pelancongan jauh dari kawasan bandar, dan penginapan jangka panjang yang didorong oleh kemunculan pengaturan kerja yang fleksibel.

 

Pengarah Perundingan Ekonomi di Asia untuk Oxford Economics, James Lambert berkata Airbnb jelas memainkan peranan penting dalam daya tahan dan kebangkitan sektor perjalanan dan pelancongan Malaysia berikutan pandemik COVID-19.

 

“Airbnb telah menjadi pencetus beberapa trend yang membentuk semula industri perjalanan dan pelancongan negara, termasuk peralihan dalam perjalanan jauh dari bandar dan ke arah lebih banyak komuniti luar bandar.

 

“Terdapat juga peningkatan permintaan untuk perjalanan jangka panjang, seperti yang ditunjukkan oleh fenomena tinggal dan bekerja di mana sahaja dan kerjasama terkini platform ini dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menarik lebih ramai nomad digital,” ujar James.

 

Pengurus Besar Airbnb bagi Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj berkata perjalanan dengan memandu sendiri dan serantau semakin popular, membawa kepada penyebaran perbelanjaan pelancongan yang lebih luas di luar kawasan tumpuan tradisional di Malaysia.

 

 

Amanpreet Bajaj
Amanpreet Bajaj

 

 

“Sumbangan ekonomi kepada KDNK dan pekerjaan yang didorong oleh perjalanan menerusi Airbnb di Malaysia telah mewujudkan kesan limpahan ekonomi yang kuat, membolehkan pertumbuhan perniagaan tempatan, seperti kedai, restoran, bar dan kafe — yang selalunya menjadi tumpuan kepada pengalaman pengembara di sesebuah destinasi — dan mencipta peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan,” tambahnya.  - DagangNews.com