KUALA LUMPUR 15 Julai – Bursa Malaysia Securities Bhd mengeluarkan teguran awam kepada Zetrix AI Bhd dan mengenakan denda sebanyak RM150,000 setiap seorang ke atas tujuh pengarah syarikat yang dulunya dikenali sebagai MyEG Services Bhd kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan gagal mematuhi arahan pengawal selia.
Bursa Malaysia mendapati Zetrix AI telah melanggar Perenggan 9.35A(1)(a) dan (b) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (Main LR) apabila kenyataan bertarikh 7 Julai 13 September dan 14 September 2023 tidak bersifat fakta tepat serta mengelirukan.
Syarikat itu juga melanggar Perenggan 2.23(1) apabila gagal mematuhi arahan Bursa untuk memberikan penjelasan berhubung kenyataan 7 Julai dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum 16 Ogos, menurut Bursa Malaysia dalam satu kenyataan.
Antara pengarah yang dikenakan denda ialah Pengarah Urusan Kumpulan Wong Thean Soon dan Pengerusi Eksekutif Datuk Dr Norraesah Mohamad. Mereka masing-masing didenda RM100,000 kerana pelanggaran kenyataan serta RM50,000 kerana gagal mematuhi arahan Bursa.
Lima lagi pengarah yang turut didenda adalah Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah serta Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Wong Kok Chau Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff Datuk Mohd Jeffrey Joakim dan Mohaini Mohd Yusof.
“Tiada justifikasi munasabah terhadap kegagalan syarikat dan pengarah-pengarah untuk memastikan semua kenyataan adalah berdasarkan fakta tepat tidak mengelirukan dan mematuhi arahan pengawal selia,” tegas Bursa Malaysia.
Untuk rekod kenyataan bertarikh 7 Julai menyebut bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan pelantikan Zetrix AI sebagai ejen kutipan hasil kerajaan serta meneruskan peranan sebagai penyedia perkhidmatan dalam talian bagi Jabatan Imigresen.
Namun demikian menurut Bursa kenyataan itu tidak selari dengan kandungan surat dari Kementerian Dalam Negeri bertarikh 4 Julai 2023.
Walaupun laporan media telah mengetengahkan kebimbangan bahawa syarikat itu terus mengenakan bayaran bagi pembaharuan permit pekerja asing selepas konsesi rasminya tamat pada Mei 2023 Zetrix AI gagal mengeluarkan penjelasan tepat pada waktunya. Sebaliknya syarikat mengekalkan dakwaan tidak tepat dalam kenyataan susulan pada September.
Bursa turut merujuk laporan The Edge Malaysia bertarikh 12 September 2023 bertajuk “MyEG said to be charging fees for foreign worker permits despite contract suspension” dan laporan New Straits Times bertajuk “MYEG illegally renewing workers permits”.
Difahamkan konsesi lama telah tamat pada Mei 2023 dan hanya pada Oktober Zetrix AI memperoleh tender baharu bagi pembaharuan permit pekerja asing secara dalam talian berkuat kuasa Februari 2024.
Tempoh antara 23 Mei 2023 hingga 31 Januari 2024 menyaksikan tiada kelulusan rasmi untuk syarikat terus mengutip hasil kerajaan.
Menurut Bursa kegagalan para pengarah melaksanakan tanggungjawab secara wajar meskipun menyedari wujud percanggahan maklumat dan arahan pengawal selia merupakan satu pelanggaran serius. Pendedahan yang tepat dan segera adalah penting demi integriti pasaran dan keyakinan pelabur. - DagangNews.com








