KUALA LUMPUR 21 Feb — Keuntungan bersih teras YTL Power International Berhad bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (6MFY25) adalah RM1.38 bilion, sekali gus berada di bawah jangkaan pasaran dan menyaksikan penurunan 18 peratus tahun ke tahun.
Menurut nota penyelidikan Affin Hwang Investment Bank Berhad, perolehan untung sepanjang tempoh enam bulan tersebut menyumbang 47 peratus daripada konsensus dan 44 peratus daripada ramalan pendapatan setahun penuh oleh firma berkenaan sebelum itu.
"Keputusan yang direkodkan YTL Power itu adalah di bawah pasaran dan unjuran kami. Faktor kerugian pendapatan adalah disebabkan pendapatan yang lebih rendah berbanding jangkaan daripada segmen penjanaan kuasa," katanya menerusi satu nota kajian.
Walaupun kekurangan pendapatan, Affin Hwang mengakui bahawa pelan pengembangan pusat data syarikat itu kekal di landasan betul apabila bertindak membangunkan premis 40 megawatt (MW) untuk firma teknologi utama yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
"YTL Power juga membina pusat data khusus kecerdasan buatan (AI) berkuasa 20MW yang bersedia untuk memulakan operasi pada Julai 2025, dengan ada seorang pengendali telah dijamin bagi tempoh empat tahun walaupun butiran masih tidak didedahkan," katanya.
Berikutan keputusan lebih lemah daripada jangkaan, firma itu telah melaraskan semula ramalan pendapatan syarikat tersebut kepada arah bawah serta mengurangkan anggaran tahun kewangan 2025 (FY25) kepada 2027 (FY27) antara 11 peratus hingga 16 peratus.
Seiring perkembangan itu, Affin Hwang menurunkan harga sasaran saham kepada RM4.70 daripada RM5.60, namun di sebalik pemotongan tersebut, ia mengekalkan saranan 'beli' kerana penilaian menarik dan prospek jangka panjang pusat data adalah positif. - DagangNews.com








