YouTube berasaskan web semakin hilang daya tarikan, TV pintar ambil alih, kata penganalisis  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YouTube berasaskan web semakin hilang daya tarikan, TV pintar ambil alih, kata penganalisis 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Jan – Perbelanjaan pengiklanan digital (digidex) Malaysia mencatat penyusutan ketara pada CY25, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh kelemahan berterusan di youtube.com berasaskan web, yang semakin kehilangan daya tarikan dalam kalangan pengiklan.

 

Menurut Kenanga Research, digidex merosot 39% tahun ke tahun (YoY) pada CY25, sejajar dengan kejatuhan perbelanjaan pengiklanan di youtube.com yang turut susut 39% YoY. 

 

"Trend ini mencerminkan perubahan struktur dalam landskap pengiklanan digital, apabila pengiklan semakin mengalihkan bajet kepada platform lain seperti media sosial, enjin carian dan perdagangan langsung yang menawarkan pulangan lebih berkesan.

 

“Kami melihat persaingan yang semakin sengit daripada platform digital alternatif, di samping perubahan tingkah laku pengguna yang semakin cenderung kepada aplikasi mudah alih dan TV pintar,” kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Inventori iklan YouTube juga dilihat beransur-ansur beralih daripada platform web kepada aplikasi mudah alih dan TV pintar, selaras dengan corak penggunaan kandungan video yang semakin tertumpu kepada peranti tersebut. 

 

Bagaimanapun, peralihan ini tidak sepenuhnya dicerminkan dalam data rasmi, memandangkan penjejakan digidex oleh Nielsen Malaysia hanya merangkumi iklan paparan dan video di laman web desktop serta mudah alih, dan tidak termasuk penempatan iklan dalam aplikasi.

 

Akibatnya, adex youtube.com terus mencatat penurunan untuk suku ke-9 berturut-turut, merosot kepada RM95.5 juta pada 4QCY25, iaitu sekitar 25% daripada paras kemuncaknya pada 4QCY23.

 

Penganalisis berpandangan, kelemahan berterusan ini menandakan cabaran yang semakin ketara bagi platform web tradisional, termasuk YouTube versi web, untuk mengekalkan bahagian pasaran pengiklanan dalam persekitaran digital yang semakin kompetitif dan berpecah. - DagangNews.com