KUALA LUMPUR 21 Feb — Yinson Holdings Berhad menyiapkan kapal jenis terapung, penyimpanan pengeluaran dan pemunggahan (FPSO) terbesarnya, Agogo FPSO, untuk disewa Azule Energy di Angola selama 15 tahun dengan nilai AS$5.3 bilion (RM23.48 bilion).
Malah kapal dengan kapasiti penyimpanan minimum 1.6 juta tong tersebut dan disiapkan tiga bulan lebih awal daripada jadual di Limbungan Cosco Shipping Heavy Industry di Shanghai, China dan kini bersedia untuk berlepas ke negara barat benua Afrika itu.
Yinson memenangi kontrak itu dua tahun lalu dengan pilihan lanjutan penyewaan lima tahun. Azule Energy ialah pengeluar minyak dan gas bebas terbesar di Angola melalui usaha sama 50:50 antara gergasi minyak British, BP dan syarikat tenaga Itali, Eni.
Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Production, Flemming Grønnegaard berkata, Agogo FPSO dijangka mengisi minyak pertama sama ada pada akhir Ogos atau awal September, enam bulan lebih awal daripada garis masa yang telah dijadualkan kepada pelanggannya itu.
"Selepas penerimaan penuh Agogo FPSO, Yinson akan mempunyai sembilan kapal FPSO dalam fasa pajakan dan operasi yang menjana pendapatan berulang," katanya kepada pemberita selepas majlis penamaan rasmi kapal tersebut oleh penaungnya, Evelise Neto Azevedo.
Yinson menganggarkan aliran tunai tahunan kira-kira AS$900 juta (RM3.97 bilion) setelah perbelanjaan bukan tunai diselaraskan, dan menjadi lonjakan kuantum berbanding cuma AS$300 juta (RM1.32 bilion) dijana sembilan bulan berakhir 31 Oktober 2024.
Perjanjian saham keutamaan 'boleh tukar boleh tebus' sebanyak AS$1 bilion (RM4.42 bilion) yang ditandatangani pada Januari lalu dijangka mampu meningkatkan kedudukan tunainya kepada AS$1.383 bilion (RM6.1 bilion) daripada AS$583 juta (RM2.57 bilion).
Melangkah ke hadapan ujar Grønnegaard, Yinson menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya satu projek FPSO setiap tahun dengan setiap kapal jarak pertengahan itu bernilai antara AS$1 bilion (RM4.42 bilion) hingga AS$1.8 bilion (RM7.95 bilion).
Mengulas mengenai industri FPSO, beliau yakin bahawa industri itu kini berada dalam tempoh 'super mampan' kerana bilangan pemainnya telah menurun daripada kira-kira 40 pengeluar sebelum ini kepada segelintir sekarang, manakala permintaan FPSO stabil.
Bahkan ditanya isu risiko rantaian bekalan, beliau tidak bimbang mengenai prestasi limbungan kapal di China yang dianggapnya sebagai luar biasa dalam pembinaan serta pengurusan projek dengan pelbagai pihak berkepentingan dan kepakaran Yinson sendiri.
"Agogo FPSO sendiri dilengkapi teknologi pengurangan karbon termaju termasuk perintis pertama sistem penangkapan karbon pasca pembakaran yang mampu mengurangkan pelepasan karbon sehingga 27 peratus seelain kawalan proses automatik," kata Grønnegaard.
Kapal tersebut ditetapkan untuk beroperasi di Blok 15/06 luar pesisir Angola dan dijangka menyumbang 10 peratus daripada pengeluaran minyak negara itu bagi mengukuhkan kedudukan sebagai pengeluar luar pesisir kedua terbesar di Afrika. - DagangNews.com








