Yasmin dan Iskandar Mahmood terajui usaha kepelbagaian strategik Jasa Kita, umum dividen khas 12 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yasmin dan Iskandar Mahmood terajui usaha kepelbagaian strategik Jasa Kita, umum dividen khas 12 sen

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Nov - Jasa Kita Berhad mengumumkan pelantikan Datuk (Dr.) Yasmin Mahmood sebagai Pengerusi Eksekutif dan Dato’ Sri Iskandar Mizal Mahmood sebagai Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa hari ini bagi memacu fasa pertumbuhan mampan serta penciptaan nilai seterusnya bagi kumpulan itu.

 

Langkah ini menandakan permulaan bab baharu bagi syarikat tersenarai di Pasaran Utama itu, dengan tumpuan memperkukuh asas perniagaan, mengembangkan teras operasi ke bidang strategik serta meningkatkan daya saing jangka panjang dan nilai kepada pemegang saham.

 

Sebagai tanda keyakinan terhadap asas kewangan kukuh, Jasa Kita turut mengumumkan dividen khas sebanyak 12 sen sesaham dengan tarikh kelayakan akan diumumkan tidak lama lagi.

 

Syarikat menyatakan dividen khas itu mencerminkan komitmen lembaga pengarah dan pengurusan baharu terhadap penciptaan nilai kepada pemegang saham serta menandakan permulaan perjalanan transformasi ke arah pertumbuhan mampan dan kepelbagaian strategik.

 

Pelantikan ini dibuat selepas perubahan pemilikan kawalan pada September lalu apabila Abd Azis Mohamad, suami kepada Yasmin, bersama syarikat pelaburannya Kintan Prima Sdn Bhd, memperoleh 40.33% pegangan saham dalam Jasa Kita daripada pengasas asal, keluarga Tan, dengan nilai RM68.9 juta pada harga RM0.38 sesaham.

 

Pengambilalihan itu mencetuskan tawaran am mandatori (MGO) pada harga yang sama dan selepas selesai proses berkenaan, pegangan terkumpul mereka kini mencecah 77.93%, sekali gus menandakan perubahan ketara dalam hala tuju dan kepimpinan syarikat.


 

Jasa Kita

 


Yasmin, yang pernah menerajui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dari 2014 hingga 2018, dikenali sebagai tokoh utama dalam memacu agenda transformasi digital negara.

 

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam sektor awam dan swasta termasuk jawatan pengurusan kanan di syarikat multinasional seperti Microsoft Malaysia sebagai Pengarah Urusan dan Dell Asia-Pasifik sebagai Pengarah Wilayah.

 

Yasmin kini menganggotai lembaga pengarah Citaglobal Berhad, MBSB Berhad (MBSB) dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).

 

Sementara itu, abangnya Dato’ Sri Iskandar Mizal Mahmood merupakan tokoh korporat berpengalaman lebih 35 tahun dalam bidang pelaburan, transformasi dan pengurusan pemulihan perniagaan. Antara jawatan penting yang pernah disandang termasuk Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, di mana beliau berjaya mencatat keuntungan tertinggi serta memperkenalkan pembaharuan operasi.

 

Iskandar juga kini menganggotai lembaga pengarah Boustead Holdings Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

 

Yasmin menyatakan penghargaan kepada keluarga Tan atas kepimpinan mereka selama ini serta meninggalkan Jasa Kita dengan kedudukan kewangan yang kukuh, tanpa hutang dan tanpa nisbah gearan.

 

“Kami berterima kasih kepada keluarga Tan atas kepimpinan dan asas kukuh yang telah dibina. Asas yang kukuh ini memberi keyakinan untuk kami merancang hala tuju pertumbuhan baharu Jasa Kita,” katanya.

 

Beliau menambah tumpuan utama kepimpinan baharu ialah memperkukuh daya tahan syarikat bagi menghadapi masa depan serta meneroka peluang baharu yang meluaskan bidang perniagaan sedia ada.

 

“Lembaran baharu Jasa Kita ini bertujuan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman demi pertumbuhan mampan untuk semua pemegang saham setia kami. Kami sedang membina landasan untuk membawa Jasa Kita ke bidang baharu berasaskan kekuatan sedia ada,” ujar Yasmin.

 

Iskandar pula menegaskan kumpulan akan terus berpegang kepada disiplin kewangan dan penciptaan nilai jangka panjang sebagai keutamaan utama.

 

“Ini permulaan era baharu bagi Jasa Kita — berteraskan inovasi, integriti dan impak. Kami akan kekal fokus terhadap pengembangan mampan dan usaha memberikan pulangan bernilai kepada pemegang saham,” katanya.

 

Jasa Kita Berhad, yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, menjalankan aktiviti utama dalam perdagangan dan pengedaran alatan serta jentera industri. Di bawah kepimpinan baharu, kumpulan ini berhasrat memanfaatkan kekuatan legasi sedia ada sambil meneroka pertumbuhan lebih luas dalam sektor strategik pada masa depan. - DagangNews.com