Xin Synergy lapor polis terhadap bekas pengarah berkaitan dakwaan aktiviti pemberian pinjaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Xin Synergy lapor polis terhadap bekas pengarah berkaitan dakwaan aktiviti pemberian pinjaman

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Xin Synergy Group Berhad mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Total IPCO Sdn. Bhd. telah membuat laporan polis terhadap beberapa bekas pengarah, susulan dakwaan penemuan ketidakaturan dalam aktiviti pemberian pinjaman yang dijalankan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Xin Synergy yang sebelum ini dikenali sebagai Jade Marvel Group Berhad, berkata individu yang didakwa terbabit dalam laporan tersebut merupakan bekas pengarah XSGB dan Total IPCO.

 

Antara isu yang didakwa timbul berkaitan kelulusan dan pengurusan pinjaman termasuklah:

  • Penilaian risiko yang tidak memadai semasa kelulusan pinjaman;

  • Kebergantungan berlebihan kepada cadangan tanpa semakan bebas;

  • Konflik kepentingan yang tidak didedahkan dengan peminjam pihak berkaitan;

  • Pengeluaran pinjaman serta aktiviti bayaran balik yang mencurigakan;

  • Banyak kelulusan pinjaman yang tinggi ketika pasaran tidak menentu; dan

  • Ketidakpatuhan terhadap prosedur dalaman serta beberapa peruntukan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

 

Bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kawalan dalaman dan ketelusan, syarikat telah melantik NEK & Associates sebagai Penyemak Bebas untuk menjalankan semakan komprehensif terhadap aktiviti pemberian pinjaman dan perkara berkaitan oleh Total IPCO bagi tempoh 1 Mei 2021 hingga 10 Oktober 2023.

 

Lembaga Pengarah XSGB menegaskan laporan polis tersebut serta pelantikan Penyemak Bebas adalah langkah penting bagi melindungi kepentingan Syarikat, para pemegang saham dan pihak berkepentingan, selain menegakkan prinsip akauntabiliti serta standard tadbir urus korporat.

 

Langkah-langkah berkenaan dijangka tidak memberi sebarang kesan material segera terhadap modal saham, aset bersih, nisbah hutang, pendapatan sesaham atau aliran tunai Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.

 

Xin Synergy menambah, ia akan terus memaklumkan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad mengenai sebarang perkembangan material berkaitan perkara ini dari semasa ke semasa. - DagangNews.com