KUALA LUMPUR 2 Okt – Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diperkasa di Pulau Pinang apabila Wawasan Open University (WOU) menjalin kerjasama strategik yang baharu.
Kali ini ia melibatkan satu institusi pendidikan dan dua syarikat industri yang terkemuka di negeri tersebut bagi menyokong pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Kerjasama Fourier TVET Centre, MI Equipment Sdn Bhd dan 3REN Berhad, membabitkan pembangunan program TVET kejuruteraan, rebat pendidikan korporat serta laluan pensijilan dan pengajian profesional pekerja industri.
Majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut berlangsung di kampus utama WOU dan disaksikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor WOU, Prof Dr Lily Chan berkata, sebagai ‘Silicon Valley of the East’, Pulau Pinang memerlukan aliran bakat mampan yang boleh menyokong pertumbuhan teknologi tinggi dan digital.
"TVET kini menjadi nadi utama membina kemahiran industri moden, dan WOU komited untuk memperkukuh kerjasama dengan syarikat-syarikat strategik bagi menjayakan misi ini,” katanya.
Melalui Fourier TVET Centre, WOU akan menawarkan Diploma Kemahiran dalam Teknologi Mekatronik, merangkumi pengaturcaraan PLC & HMI, kawalan pergerakan dan pengesanan kerosakan. Fourier menghasilkan lebih 800 jurutera profesional sejak ditubuhkan pada 1996.
Sementara itu, MI Equipment ialah pemain utama dalam peralatan semikonduktor yang akan menyediakan rebat korporat kepada pekerja yang mengikuti pengajian bidang kejuruteraan, teknologi digital dan kepimpinan di WOU.
3REN Berhad pula, yang fokus dalam automasi berasaskan AI dan kejuruteraan pintar, akan memperluas laluan pembelajaran pekerja kepada pensijilan profesional, ijazah sarjana muda dan pengajian pascasiswazah melalui program yang disediakan oleh WOU Academy.
Chan menambah, inisiatif ini menyokong Strategi Semikonduktor Nasional dan aspirasi AI Nation 2030, khususnya dalam memperkukuh daya saing global Pulau Pinang sebagai hab teknologi rantau ini.
“Gabungan akademia–industri–kerajaan sangat penting dalam melahirkan bakat berkualiti tinggi. Kita bukan hanya sediakan peluang belajar fleksibel, tetapi juga laluan kerjaya jelas dalam bidang E&E, automasi dan teknologi perubatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Loo menegaskan kerjasama ini tepat pada masanya kerana ia menyokong pelaksanaan Pelan Induk Bakat STEM Pulau Pinang, terutama bagi peringkat pascamenengah.
“Usaha ini memperkukuh ekosistem pembangunan bakat dan memberi peluang kepada pekerja meningkatkan kemahiran tanpa meninggalkan kerjaya,” katanya.
Program hasil kerjasama ini jelas beliau, akan dilaksana dengan sokongan Fakulti Teknologi, Kejuruteraan, Perniagaan dan Teknologi Digital WOU.
Inisiatif ini juga menyasarkan tenaga kerja merentas peringkat, daripada operator hingga pengurusan kanan, dan direka bentuk selaras keperluan sebenar industri.
Secara keseluruhannya, langkah ini menegaskan misi WOU terus menyumbang kepada pembangunan bakat Industri 4.0, dan memperkukuh peranan Pulau Pinang sebagai pemacu teknologi serantau dan global. - DagangNews.com








