West River beli 95% pegangan Ace Hydropower perkukuh strategi tenaga boleh diperbaharui | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

West River beli 95% pegangan Ace Hydropower perkukuh strategi tenaga boleh diperbaharui

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Mac — West River Berhad mengumumkan anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Neutron Power Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian jual beli saham (SSA) bagi memperoleh 95% pegangan dalam Ace Hydropower Sdn Bhd pada harga RM850,000 secara tunai.

 

Pengambilalihan itu melibatkan 47,500 saham biasa, mewakili 95% daripada jumlah modal saham terbitan Ace Hydropower. Selepas transaksi tersebut dimuktamadkan, Ace Hydropower akan menjadi anak syarikat tidak langsung kepada kumpulan.

 

Menurut syarikat itu, perjanjian tersebut susulan pengumuman terdahulu pada 17 September 2025 mengenai cadangan pengambilalihan berkenaan.

 

Walaupun terma utama kekal hampir sama seperti yang diumumkan dalam lembaran terma sebelum ini, jumlah saham yang akan diperoleh telah disemak semula.

 

Penyesuaian itu dibuat selepas West River berjaya memenuhi garis masa projek yang dipersetujui, sekali gus membolehkan syarikat memperoleh tambahan saham daripada vendor pada nilai balasan yang dipersetujui bersama.

 

Cadangan pengambilalihan tersebut tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk hasil usaha wajar yang memuaskan serta pengesahan bahawa semua lesen dan permit berkaitan projek hidrokuasa dan operasi Ace Hydropower kekal sah.

 

Syarat lain termasuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pihak pembiaya, kelulusan korporat daripada pihak-pihak terlibat serta sebarang persetujuan daripada pihak berkuasa kawal selia atau pihak ketiga yang berkaitan.

 

Transaksi itu akan dimuktamadkan selepas semua syarat dipenuhi atau diketepikan, dengan syarat tiada perubahan material yang menjejaskan kedudukan kewangan atau operasi Ace Hydropower serta tiada tindakan undang-undang atau peraturan yang menghalang transaksi tersebut.

 

Pengarah Urusan West River, Lim Yong Lai berkata pengambilalihan itu merupakan pencapaian penting bagi syarikat dalam usaha memperkukuh strategi pertumbuhan berteraskan tenaga hijau.

 

“Hidrokuasa merupakan sumber tenaga boleh diperbaharui yang terbukti dan boleh dipercayai, dan projek Kinta Hydropower Project dijangka menjana aliran tunai stabil dalam jangka panjang di samping meningkatkan nilai kepada pemegang saham,” katanya.

 

Beliau berkata syarikat juga menyasarkan untuk menjana pulangan mampan kepada pelabur, menyokong sasaran pengurangan karbon Malaysia serta memberikan impak sosioekonomi positif kepada komuniti tempatan di negeri Perak.

 

Mengulas lanjut, Yong Lai berkata projek tersebut turut mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong aspirasi pelepasan karbon sifar bersih negara.

 

“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan pihak pengawal selia dan komuniti setempat bagi memastikan masa depan tenaga yang mampan dan inklusif,” katanya. - DagangNews.com