Well Chip raih peluang besar susulan kenaikan harga emas ke paras tertinggi, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Well Chip raih peluang besar susulan kenaikan harga emas ke paras tertinggi, kata Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Feb — Lonjakan harga emas ke paras tertinggi rekod ketika ini menjadi isu kritikal yang menekan kecairan ramai pemain pajak gadai di Malaysia, menurut Maybank Investment Bank.


Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut berkata, situasi kali ini turut membuka ruang pertumbuhan besar kepada pengendali yang lebih kukuh dari segi modal, terutamanya Well Chip Group Berhad.


Tambahnya dalam nota analisis bertajuk 'Gold Rush, Cash Crunch?', harga emas tinggi meningkatkan saiz pinjaman yang bercagar emas, selain mendorong aktiviti pembiayaan semula secara lebih kerap.


"Keadaan ini menyebabkan aliran keluar tunai berlaku lebih pantas berbanding kutipan faedah dan fi, sekali gus menjejaskan keupayaan kecairan kebanyakan pajak gadai bersaiz kecil," jelas Maybank IB. 


Situasi berkenaan katanya, menyebabkan ada yang terpaksa menghentikan sementara pengeluaran pajakan baharu, namun berpandangan situasi ini sebenarnya memberi kesan positif ke atas Well Chip pula.


Ini memandangkan kekangan yang berlaku adalah dari sudut kapasiti pembiayaan, bukannya permintaan, dan ia menjangka permintaan pinjaman terus meningkat menjelang hampir kemuncak musim perbelanjaan.


Maybank IB berkata antaranya Tahun Baharu Cina, bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, sekali gus mewujudkan peluang meraih permintaan yang tidak dapat dipenuhi oleh pesaing berskala lebih kecil.


"Perkembangan ini turut meningkatkan bahagian pasaran Well Chip sendiri, dan dari sudut kedudukan kewangan, ia berada pada tahap selesa dengan nisbah penggearan bersih hanya 0.6 kali," tambahnya.


Firma berkenaan menganggarkan kumpulan itu masih ada ruang hutang tambahan sehingga RM161.4 juta, jika penggearan dinaikkan kepada 1.0 kali, bagi menyokong pengembangan buku pinjaman.


Sehubungan itu, Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' ke atas syarikat ini dengan harga sasaran RM1.83 sesaham, berdasarkan angaran penilaian 2.0 kali nisbah harga kepada nilai buku akhir FY26.


Di samping itu, firma berkenaan menekankan kelebihan imbangan kira-kira Well Chip yang fleksibel sebagai pemangkin utama pertumbuhan kumpulan dalam persekitaran pasaran semasa. - DagangNews.com