Wasco tamatkan trend buku tempahan susut empat suku berturut-turut pada 3QFY25, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wasco tamatkan trend buku tempahan susut empat suku berturut-turut pada 3QFY25, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 NovWasco Berhad akhirnya berjaya mencatatkan pemulihan buku tempahan pada 3QFY25, sekali gus menamatkan penyusutan selama empat suku berturut-turut, menurut penganalisis.


Kejayaan itu diraih menerusi kontrak baharu bernilai RM944 juta, menaikkan baki buku tersebut kepada RM2.6 bilion, dengan keputusan diraih pada suku ketiga 2025 menunjukkan keuntungan teras. 


Bagaimanapun jumlah dicatatkan berbeza apabila Maybank Investment Bank melaporkan RM28.3 juta, naik 1% suku ke suku (QoQ), manakala Public Investment Bank pula RM25.0 juta, bertambah 37.1% QoQ.


Bagi tempoh 9M25, keuntungan teras Wasco berjumlah RM85.4 juta (Maybank IB) atau RM72.3 juta (PublicInvest), yang mewakili 78% daripada unjuran Maybank IB dan sebanyak 68.5% oleh PublicInvest.


"Pemulihan buku tempahan disokong banyak projek utama seperti stesen janakuasa Tangguh di Indonesia dan tender pembangunan laut dalam Aoka Mizu di pesisir Australia," kata Maybank IB melalui notanya.


Sementara PublicInvest pula menekankan margin perkhidmatan tenaga yang diperoleh kumpulan tersebut meningkat kepada kira-kira 7%, atau 1.4 mata asas QoQ, berikutan campuran projek menguntungkan.


Dalam pada itu, segmen bio tenaga didapati mencatatkan pendapatan yang lebih rendah iaitu RM72.3 juta, susut 11.3% tahun ke tahun (YoY), disebabkan penghantaran peralatan semakin berkurangan.


Jualan turbin sebanyak 62 unit namun dijangka diiktiraf pada suku berikutnya, manakala perkhidmatan operasi dan penyelenggaran (O&M) berulang pada 316 turbin yang dipasang terus menyokong permintaan.


Perkembangan positif tersebut jelas kedua-dua firma penyelidikan berkenaan, berjaya mengukuhkan lagi strategi penyenaraian anak syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE), Wasco Greenergy Berhad.


Bersandar situasi itu, Maybank IB menaik taraf saranan kepada 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.00 daripada hanya 97 sen, menekankan nilai yang muncul dalam penilaian dan prospek pemulihan.


"Kami juga menaikkan sasaran buku tempahan FY25 kepada RM2.7 bilion, dengan dividen FY25 berpotensi 5.7 sen dan hasil 6.3%, setelah melihat sokongan untuk harga saham Wasco sebelum ini," katanya.


Berbeza pula PublicInvest yang menaik taraf kepada 'neutral' dengan TP 98 sen daripada 81 sen, dengan berdasarkan unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PER) pada FY26 sebanyak 8.1 kali.


Penilaian itu mencerminkan potensi pemulihan keuntungan, dan menekankan margin lebih tinggi pada segmen tenaga, projek paip serta kejuruteraan, selain segmen bio tenaga bagi jangka panjang.


Secara keseluruhan, pemulihan buku tempahan dan peningkatan margin projek menjadikan Wasco berpotensi meneruskan kestabilan suku akan datang walaupun prestasi YoY masih menurun. - DagangNews.com