Wasco Greenergy lancar IPO di Pasaran Utama, sasar kumpul RM150 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wasco Greenergy lancar IPO di Pasaran Utama, sasar kumpul RM150 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov – Wasco Greenergy Bhd, penyedia perkhidmatan tenaga boleh diperbaharui milik Wasco melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama dengan sasaran untuk mengumpul sehingga RM150 juta bagi memperluaskan lagi operasi perniagaannya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut berkata, IPO itu ditetapkan pada harga RM1 sesaham, melibatkan terbitan awam sebanyak 75 juta saham baharu dan tawaran jualan 75 juta saham sedia ada yang dimiliki oleh Wasco dan Tema Energy Ventures Sdn Bhd.

 

“Secara keseluruhan, sehingga 30% daripada jumlah saham syarikat yang diperbesarkan akan ditawarkan kepada pelabur.

 

“Permohonan akan ditutup pada 28 November dan dijadualkan disenaraikan pada 11 Disember,” kata Wasco Greenergy dalam makluman itu.

 

Daripada RM75 juta hasil terbitan awam, sebanyak 50.9% atau RM38.2 juta akan digunakan untuk pengembangan perniagaan dan menyokong peralihan syarikat kepada pemilikan dan operasi loji janakuasa stim biomassa. 

 

Baki dana akan digunakan untuk pembelian peralatan dan mesin baharu, pengembangan operasi di Indonesia, pendigitalan sistem dan proses perniagaan, penyelidikan dan pembangunan, serta menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Wasco Greenergy, Lee Yee Chong berkata, pelaburan ini akan meningkatkan kapasiti operasi, memperluas kehadiran serantau dan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penyedia sistem tenaga boleh diperbaharui terkemuka di Malaysia.

 

Hasil daripada tawaran jualan saham akan diberikan kepada pemegang saham yang menjual. 

 

Selepas penyenaraian, Wasco dijangka memegang 62.54% pegangan syarikat, manakala Tema memegang 7.46%.

 

Wasco Greenergy memfokuskan sistem tenaga stim biomassa, penjana stim pemulihan haba, sistem penjana turbin stim, sistem tenaga stim berasaskan gas, serta peralatan kilang kelapa sawit lain.

 

Syarikat itu juga menyediakan perkhidmatan untuk pelbagai industri termasuk kelapa sawit, oleokimia, kilang kertas dan taman perindustrian.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wasco, Giancarlo Maccagno pula berkata, penyenaraian ini menandakan platform yang fokus dan berskala, dibina atas kepakaran antarabangsa dan memfokuskan kepada peluang infrastruktur hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

 

CIMB berperanan sebagai penasihat utama dan penjamin bagi penyenaraian, manakala Maybank Investment Bank dan CGS International Securities turut membantu sebagai penjamin buku dan penjamin bersama. - DagangNews.com