Wasco Greenergy catat hasil RM68 juta pada 4QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wasco Greenergy catat hasil RM68 juta pada 4QFY25

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Feb – Wasco Greenergy Berhad mencatatkan pendapatan sebanyak RM68 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4QFY25), susut 9.6% berbanding RM75.2 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Wasco Greenergy berkata walaupun pendapatan sedikit menurun, keuntungan kasar meningkat kepada RM22.9 juta, mencerminkan margin projek yang lebih baik dan kecekapan operasi. 

 

“Keuntungan sebelum cukai  meningkat 18.1% kepada RM13.7 juta, manakala keuntungan selepas cukai meningkat 16.7% kepada RM9.8 juta,” katanya dalam makluman itu.

 

Bagi keseluruhan tahun kewangan 2025, syarikat merekodkan pendapatan RM266.5 juta berbanding RM276.7 juta pada FY2024. 

 

Keuntungan sebelum cukai meningkat 2.6% kepada RM43.1 juta, manakala keuntungan selepas cukai naik 5.6% kepada RM32.3 juta. 

 

Lembaga Pengarah juga mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak 2.0 sen sesaham bagi FY2025.

 

Kumpulan itu berkata segmen tenaga boleh baharu terus menjadi penyumbang utama, menghasilkan pendapatan RM56.8 juta pada suku keempat dan RM231.1 juta bagi FY2025.

 

“Pencapaian ini disokong margin kasar yang mantap serta sumbangan berulang daripada perkhidmatan selepas jualan. Sepanjang tahun, syarikat berjaya menghantar 74 unit turbin stim ke pasaran.

 

“Segmen Tenaga dan Peralatan Industri menyumbang RM11.2 juta pada suku keempat dan RM35.4 juta bagi keseluruhan tahun, dengan margin kasar 26.8% berikutan peningkatan pelaksanaan projek sistem stim gas.

 

“Sepanjang tahun, syarikat turut memperolehi projek EPCC bernilai RM40.6 juta untuk loji stim biojisim (70 tan sejam) di Pasir Gudang, Johor, yang menyediakan stim hijau kepada industri tempatan.

 

Buku tempahan syarikat setakat 31 Disember 2025 berada pada RM241.3 juta, dengan 89.1% daripada segmen Tenaga Boleh Baharu dan 10.9% dari Tenaga & Peralatan Industri.

 

Sebanyak RM222.9 juta dijadualkan diiktiraf dalam FY2026, manakala baki RM18.4 juta akan diiktiraf pada FY2027, memberikan jaminan pendapatan yang jelas dan menyokong pelan pertumbuhan jangka sederhana.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Greenergy, Lee Yee Chong berkata walaupun pendapatan boleh berubah mengikut jadual penghantaran projek, fokus kepada perlindungan margin dan kecekapan operasi telah meningkatkan keuntungan. 

 

“Kumpulan menumpukan perhatian kepada pelaksanaan berdisiplin dan membina asas kukuh untuk pertumbuhan mampan, sambil melihat peluang di Malaysia, Indonesia dan rantau ASEAN.

 

“Bagi masa depan, syarikat menjangka permintaan stabil untuk sistem tenaga stim yang cekap dan lestari, dipacu oleh keperluan penjimatan tenaga industri, inisiatif dekarbonisasi, serta penambahbaikan dalam industri sawit.

 

“Wasco Greenergy akan terus melabur dalam teknologi, pendigitalan dan penambahbaikan operasi, sambil mengekalkan pelaksanaan projek secara berdisiplin,” katanya. - DagangNews.com