KUALA LUMPUR 26 Nov - Wartawan kanan Haresh De Silva, yang baru-baru ini melaporkan skandal dokumen melibatkan tujuh pemain warisan didakwa memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara meragukan, diserang oleh tiga lelaki di Bangsar pada Selasa.
Insiden berlaku sekitar jam 3.30 petang ketika Haresh baru selesai menghadiri satu mesyuarat dan sedang berjalan menuju ke keretanya.
Beliau menyedari dua lelaki berbadan sasa berkeliaran berhampiran sebelum seorang lagi lelaki muncul dan menolaknya sehingga terjatuh.
Ketika terbaring di atas jalan, dua lelaki tadi mula menyerangnya, manakala lelaki ketiga merakam kejadian menggunakan telefon bimbit.
Para penyerang melarikan diri sejurus selepas itu, dan tiada barangan milik Haresh diambil.
Haresh, yang juga pengasas bersama dan editor Twentytwo13, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sebelum menjalani pemeriksaan perubatan.
Kedua-dua sikunya cedera dan berdarah, selain lebam pada bahagian hidung.
Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Datuk Ahirudin Attan, mengecam keras serangan tersebut dan menggesa polis menyiasat segera kes berkenaan.
“Serangan terhadap Haresh adalah tindakan pengecut dan bersifat feudal,” kata Ahirudin.
“NPC mendesak polis menyiasat tanpa takut atau pilih kasih. Jangan ada lagi keputusan NFA (tiada tindakan lanjut) seperti kes pemain bola disimbah asid. Tindakan tegas mesti diambil terhadap dalang serangan ganas ini sebelum ada nyawa melayang,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa jika tujuan serangan ini untuk menakut-nakutkan wartawan, maka ia harus ditangani secara serius.
Sementara itu Gerakan Media Merdeka (Geramm) turut mengecam serangan itu dan menegaskan apa-apa tindakan intimidasi dan keganasan terhadap wartawan merupakan ancaman serius terhadap prinsip demokrasi dan kebebasan media. - DagangNews.com








