Victor Chin tegaskan dia bukan mafia korporat, sedia dedah segala-galanya jika terus ditekan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Victor Chin tegaskan dia bukan mafia korporat, sedia dedah segala-galanya jika terus ditekan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Mac - Ahli Perniagaan Victor Chin Boon Long menegaskan dia bukan mafia korporat seperti didakwa sesetengah pihak tetapi bersedia mendedahkan segala-galanya jika dirinya serta keluarga terus diancam dan ditekan tanpa belas ihsan.

 

Dalam kenyataan yang diemelkan hari ini, Victor Chin menegaskan bahawa dia juga sebenarnya merupakan mangsa kepada taktik Mafia Korporat yang didakwa wujud itu.

 

"Saya percaya pihak berkuasa akan menunjukkan belas ihsan serta pertimbangan sewajarnya terhadap kebajikan saya. Saya kekal bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam sebarang siasatan dan mengemukakan semua fakta yang diperlukan bagi membersihkan nama saya.

 

 

 

 

 

 

"Namun, sekiranya tekanan terhadap saya, keluarga saya dan mereka yang rapat dengan saya terus meningkat tanpa ketelusan atau penyelesaian, mungkin akan tiba suatu ketika di mana saya tidak lagi mampu untuk terus berdiam diri.

 

"Bagi melindungi diri saya dan mereka di sekeliling saya, saya tidak mempunyai pilihan selain mendedahkan semua maklumat dan fakta dalam pengetahuan saya, supaya kebenaran sepenuhnya akhirnya dapat didedahkan. Kebenaran mesti ditegakkan," katanya.

 

Kenyataan itu menyusul selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Sekuriti dilaporkan menyerbu kediaman Victor Chin di Sungai Long dan Kemensah pada Jumaat lalu.

 

Menurut laporan The Star yang memetik sumber selain dokumen berkaitan, turut dirampas dua buah kenderaan, jam mewah, barangan kemas, wang tunai dalan ringgit dan mata wang asing.

 

Victor Chin seterusnya berkata, mafia korporat sememangnya wujud namun dia bukan sebahagian daripadanya dan tidak menyokong atau terlibat dalam sebarang taktik itu.

 

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan berkaitan apa yang dipanggil sebagai mafia korporat.

 

Katanya, siasatan perlu dijalankan secara terbuka, bebas dan tidak memihak supaya kebenaran dapat ditentukan akhirnya.

 

Tambahnya, proses tersebut akan membuktikan secara konklusif bahawa dakwaan yang beredar terhadap dirinya adalah tidak berasas sama sekali.

 

"Label mafia korporat yang dikaitkan dengan saya sebahagian besarnya berpunca daripada individu atau syarikat yang pernah mempunyai hubungan dengan saya melalui pegangan saham atau hubungan perniagaan pada masa lalu, yang kemudiannya terlibat dalam perkara yang disiasat oleh pihak berkuasa.

 

"Dalam beberapa kes, pegangan saham tersebut telah pun dilupuskan jauh lebih awal sebelum dakwaan salah laku berlaku, atau sebelum penglibatan saya dalam syarikat yang berkenaan," ujarnya.

 

Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan demi semangat ketelusan, Victor Chin akan melantik seorang peguam di Kuala Lumpur dengan butiran akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

"Semua bukti dan dokumen sokongan yang menunjukkan bahawa saya tidak terlibat dalam mana-mana aktiviti mafia korporat yang didakwa akan diserahkan kepada peguam tersebut.

 

"Dokumen-dokumen itu kemudiannya akan tersedia kepada mana-mana agensi penguatkuasaan serta mana-mana pihak yang ingin memahami fakta sebenar selepas membuat pendaftaran dengan pejabat peguam tersebut," katanya.

 

Victor Chin berkata, walaupun mengalu-alukan RCI sebagai cara paling cekap dan telus untuk mendedahkan kebenaran serta mengenal pasti pelaku sebenar di sebalik dakwaan mafia korporat, namun situasi semasa malangnya telah menyebabkan siasatan dan tindakan penguatkuasaan berterusan tertumpu terutamanya kepada dirinya.

 

Katanya, pada masa ini, akaun bank milik syarikat yang bukan pun dimiliki oleh dirinya telah dibekukan selama lebih daripada 90 hari, dan kesannya telah melangkaui dirinya kepada perniagaan, pelabur, pekerja serta ekonomi secara keseluruhan.

 

"Dalam beberapa kes, akaun turut dibekukan hanya kerana disyaki mempunyai kaitan atau hubungan, atau dipercayai memegang saham dalam syarikat yang terlibat, walaupun hubungan tersebut bersifat tidak langsung atau hanya berdasarkan andaian," ujarnya,

 

Sehubungan tindakan tersebut, lebih daripada 500 akaun pembrokeran saham dan akaun bank dilaporkan telah dibekukan, sekali gus menyebabkan gangguan besar kepada perniagaan sah dan aktiviti pelaburan.

 

 

 

 

 

Apabila syarikat tersenarai dan dana pelaburan terjejas akibat pembekuan atau siasatan berpanjangan yang hanya berpunca daripada andaian atau khabar angin, kesan ekonominya boleh menjadi sangat serius dan meluas.

 

Jelas Victor Chin, tindakan sedemikian berisiko mewujudkan ketidakpastian berpanjangan serta menjejaskan keyakinan terhadap persekitaran perniagaan dan pelaburan negara.  - DagangNews.com