Vestland tamatkan tiga kontrak projek rumah mampu milik di Selangor bernilai RM550.69 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vestland tamatkan tiga kontrak projek rumah mampu milik di Selangor bernilai RM550.69 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 JanVestland Berhad bersetuju menamatkan tiga Surat Penganugerahan (LOA) kontrak berkaitan projek pembangunan perumahan di Selangor dengan nilai keseluruhan RM550.69 juta.


Langkah itu membabitkan anak syarikat miliknya, Vestland Resources Sdn Bhd (VRSB) dan Splendid Forte Development Sdn Bhd (SFDSB) melalui perjanjian penamatan secara bersama yang dimeterai hari ini.


Kumpulan pemaju tersebut menambah, kontrak asal yang ditandatangani kedua-dua pihak pada 18 Mac 2022 itu melibatkan projek reka dan bina di bawah skim perumahan mampu milik kerajaan negeri.

 

 

 

 

 


"Antaranya ialah Projek Selangor Cyber Valley (Fasa 1) yang mencecah nilai RM234.86 juta dengan pembinaan tersebut belum lagi dimulakan," kata Vestland dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Sementara baki dua lagi kontrak berkenaan jelas syarikat pemaju hartanah tersebut, ialah Projek Selangor Cyber Valley Fasa II bernilai RM198.50 juta dan Projek Sierra Alam dengan nilai sehingga RM117.33 juta.


Menurutnya lagi, ketiga-tiga LOA berkenaan disifatkan sebagai tidak lagi berkuat kuasa dengan serta-merta selepas pemeteraian perjanjian penamatan tersebut dimuktamadkan oleh kedua-dua syarikat. 


Katanya, berdasarkan perkembangan semasa, Lembaga Pengarah Vestland, setelah mempertimbangkan kesemua aspek, berpendapat bahawa penamatan ini adalah demi kepentingan terbaik kumpulan itu.

 

 

 

 

 

 


"Bagaimanapun, penamatan kontrak-kontrak tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026," jelasnya.


LOA bagi Selangor Cyber Valley (Fasa 1) sudah memenuhi syarat-syarat terdahulu, manakala LOA bagi Fasa II dan Projek Sierra Alam masih bersifat bersyarat sehingga tarikh penamatan. - DagangNews.com