VentureTECH, MTC Orec sokong matlamat kelestarian Malaysia menerusi pembangunan loji biometana | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

VentureTECH, MTC Orec sokong matlamat kelestarian Malaysia menerusi pembangunan loji biometana

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Dis – Syarikat pelaburan impak, VentureTECH Sdn. Bhd. (VentureTECH), mengumumkan pelaburan strategik dalam syarikat Bumiputera yang mengkhusus dalam sektor bioenergi, MTC Orec Sdn. Bhd. (MTC Orec), bagi mempercepatkan pembangunan loji biometana MTC Orec, sekali gus menunjukkan komitmen kedua-dua syarikat dalam memacu pertumbuhan mampan dan inovasi tenaga diperbaharui.

 

Pelaburan VentureTECH akan mempermudah pembangunan loji biometana baharu di kawasan utara dan Pantai Timur Malaysia, malah ia juga membolehkan pelaksanaan projek biometana melalui kerjasama dengan pemain utama industri minyak dan gas, yang dijadualkan bermula pada 2025. 

 

Usaha itu dijangka memberi sumbangan besar kepada matlamat tenaga diperbaharui Malaysia, menyokong pertumbuhan mampan dan mengukuhkan komitmen negara dalam mengurangkan pelepasan karbon.

 

MTC OREC adalah pakar terkemuka dalam reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, dan penyampaian (EPCC) kemudahan biogas, dengan rekod prestasi yang terbukti dalam menukarkan sisa kepada tenaga diperbaharui. 

 

Secara khusus, syarikat membangunkan satu daripada loji biometana pertama yang menggunakan sisa buangan Kilang Minyak Sawit (POME) untuk menyuntik biometana terus ke dalam saluran paip gas nasional Malaysia. 

 

Pencapaian tersebut mencerminkan kepimpinan MTC Orec dalam menyelaraskan rumusan berdaya cipta dengan agenda kelestarian Malaysia.

 

Berlandaskan kerjasama yang berjaya dengan pelanggan terkemuka seperti Gas Malaysia, MTC OREC kini memperluas operasi dengan empat lagi loji bioenergi yang sedang dibangunkan di seluruh Johor dan wilayah utara Semenanjung Malaysia. 

 

Projek-projek berkenaan memainkan peranan penting dalam menangani cabaran alam sekitar yang kritikal, termasuk pengurusan sisa dan pelepasan gas rumah kaca, sambil mewujudkan peluang ekonomi untuk komuniti tempatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH, Ahmad Redzuan Sidek berkata, pelaburan syarikat menegaskan dedikasinya dalam menyokong syarikat-syarikat yang memberi manfaat pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar. 

 

"Kepakaran MTC Orec dalam biotenaga dan sumbangannya kepada matlamat tenaga diperbaharui Malaysia menjadikannya rakan kongsi yang ideal. 

 

"Kerjasama ini bukan sahaja akan mengurangkan pelepasan karbon dan menggalakkan penerimaan tenaga diperbaharui, tetapi juga membuka peluang besar untuk syarikat Bumiputera dan komuniti tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, melalui kerjasama itu, pihaknya turut mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan mengembangkan kepakaran kejuruteraan, terutamanya di kawasan luar bandar yang kurang mendapat perhatian. 

 

"Projek-projek berdaya cipta MTC Orec selaras dengan hasrat Malaysia untuk pertumbuhan mampan dan inklusif, yang memacu peralihan positif sosial dan ekonomi," ujarnya.

 

Pengerusi MTC Orec, Ir. Dr. Norshah Hafeez Shuaib pula berkata, pelaburan tersebut adalah bukti kepercayaan dan keyakinan VentureTECH terhadap visi dan keupayaan syarikatnya. 

 

"Ia akan memberi kuasa kepada kami untuk memperluaskan operasi, melaksanakan projek biometana yang canggih dan memberi sumbangan bermakna kepada pemeliharaan alam sekitar serta pembangunan luar bandar. 

 

"Bersama VentureTECH, kami menetapkan penanda aras baharu untuk rumusan tenaga mampan yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang," katanya.

 

Kerjasama itu menonjolkan visi bersama VentureTECH dan MTC Orec dalam memajukan ekosistem tenaga diperbaharui Malaysia. 

 

Dengan pelaksanaan projek biogas yang memberi impak, kerjasama tersebut bukan sahaja memberikan manfaat alam sekitar, ekonomi dan sosial dalam jangka panjang, tetapi juga memacu daya cipta dan kelestarian dalam landskap tenaga Malaysia, membuka jalan untuk masa depan yang lebih hijau dan inklusif. - DagangNews.com