Vantris Energy utamakan margin dan penjanaan tunai, pertumbuhan berasaskan volum bukan lagi pilihan - CEO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vantris Energy utamakan margin dan penjanaan tunai, pertumbuhan berasaskan volum bukan lagi pilihan - CEO

KUALA LUMPUR 19 Feb - Vantris Energy Bhd tidak lagi mengejar pertumbuhan berasaskan volum, sebaliknya mengutamakan margin dan penjanaan tunai, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Muhammad Zamri Jusoh. 

 

Zamri yang mengambil alih kepimpinan Vantris pada Januari 2025 menegaskan:  "Kami kini sangat selektif. Perkara yang paling penting ialah margin dan aliran tunai."

 

Dahulunya dikenali sebagai Sapura Energy Bhd dan pernah menjadi kumpulan perkhidmatan minyak dan gas bersepadu terbesar Malaysia, syarikat itu menumpukan pada kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) berskala besar dan kompleks, yang mendorong hasil tetapi menekan margin.

 

Beban hutang yang tinggi, projek legasi yang merugikan, serta kejatuhan industri akhirnya meletakkan kumpulan itu ke dalam tekanan kewangan, membawa kepada pengklasifikasian status Nota Amalan 17 (PN17).

 

Zamri berkata, membina semula kepercayaan dalam ekosistem operasi menjadi keutamaan. 

 

Selepas penstrukturan, Vantris menyiapkan pembayaran berjumlah RM1.1 bilion kepada lebih 1,400 pembekal tempatan. 

 

“Kami telah membuat komitmen kepada mereka. Kami menepati janji itu,” katanya lapor The Star.

 

Vantris kini memasuki perjanjian rangka kerja dan kerjasama strategik untuk meningkatkan keterlihatan kos dan kepastian pelaksanaan apabila membida projek.

 

Setakat 31 Oktober 2025, buku tempahan kumpulan bernilai RM6.3 bilion, tertumpu di Malaysia dan Asia Pasifik, terdiri daripada segmen penggerudian (RM3 bilion atau 47%), kejuruteraan dan pembinaan (E&C) RM1.8 bilion (29%) dan operasi serta penyelenggaraan (O&M) RM1.5 bilion (24%). 

 

Pegangan bersama dalam usaha sama dan sekutu pula berjumlah RM3.9 bilion, lebih 90% daripadanya daripada usaha sama di Brazil.

 

Zamri berkata, kumpulan kini memfokuskan aset lebih dekat ke rumah, termasuk merancang untuk memulangkan semula kapal ke rantau ini selepas tamat kempen di Angola. 

 

“Kami rasa ada cukup kerja di sini untuk mengekalkan aktiviti kami,” katanya, sambil menambah perbincangan dengan pelanggan menunjukkan aktiviti kukuh sehingga 2028 dan 2029.

 

Walaupun kemajuan dicatat, Vantris masih di bawah PN17 dan tidak mempunyai akses kepada modal kerja atau kemudahan jaminan bank, memerlukan operasi dibiayai sendiri. 

 

Kumpulan perlu merekod dua suku berturut-turut keuntungan bersih untuk keluar dari PN17, dengan sasaran keluar menjelang tahun kewangan berakhir 31 Jan 2027.

 

Zamri mengakui bahawa disiplin pelaksanaan kekal kritikal. “Kami memantau perniagaan seperti helang. Tiada ruang untuk kesilapan,” katanya.

 

Vantris juga sedang menyingkirkan aset tidak berprestasi. Januari lalu, kumpulan menjual pegangan 40% dalam L&T‑Sapura Shipping Pvt Ltd kepada rakan kongsi Larsen & Toubro Ltd bernilai kira-kira AS$30.5 juta. Hasil bersih daripada penjualan akan digunakan sebagai modal kerja.

 

Dalam bidaan projek baru, Vantris mengetatkan strategi dengan menyelaraskan projek mengikut aset sedia ada. 

 

“Kami kini melihat aset kami terlebih dahulu sebelum membida. Keutamaan adalah memastikan aset yang ada digunakan sepenuhnya kerana aset yang baik adalah aset yang bekerja,” katanya. - DagangNews.com