KUALA LUMPUR 22 Okt – Universiti Utara Malaysia (UUM) melantik Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Capital, Khairul Nisa Ismail sebagai Felo Adjung di School of Computing (SoC) universiti itu bagi tempoh dua tahun.
Pelantikan tersebut mengiktiraf pencapaian cemerlang serta kepimpinan Khairul Nisa dalam sektor teknologi kewangan dan teknologi digital, sekali gus menyerlahkan peranannya sebagai antara tokoh wanita Malaysia yang memacu inovasi digital dan kecemerlangan kewangan Islam.
Sebagai Felo Adjung, beliau akan berkongsi kepakaran industri untuk memperkukuh kerjasama akademia dan industri di UUM melalui penambahbaikan kurikulum, nasihat industri serta sesi syarahan umum.
Inisiatif ini bertujuan melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital negara.
Mengulas mengenai pelantikan itu, Khairul Nisa berkata, beliau amat berbesar hati menerima pengiktirafan tersebut daripada UUM.
“Pelantikan ini membuka peluang bermakna untuk merapatkan hubungan antara dunia akademik dan industri melalui perkongsian pengalaman sebenar yang dapat memberi inspirasi serta memperkasa generasi baharu inovator digital.
“Kita akan bekerjasama memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang teknologi kewangan Islam yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sedania Innovator Berhad, Datuk Azrin Mohd Noor turut mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan terhadap komitmen kumpulan itu terhadap inovasi berasaskan nilai.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan keunggulan peribadi Khairul Nisa, tetapi juga komitmen Sedania untuk memupuk inovasi berasaskan nilai dan tujuan.
“Peranannya di UUM menunjukkan bagaimana kerjasama korporat dan akademik dapat mempercepat pembangunan bakat, khususnya dalam teknologi beretika dan kewangan digital Islam,” katanya.
Sementara itu, Penolong Naib Canselor UUM CAS merangkap Dekan School of Computing, Profesor Dr Osman Ghazali berkata, pengalaman Khairul Nisa dalam menerajui transformasi digital dalam industri teknologi kewangan akan memberi nilai tambah besar kepada ekosistem akademik universiti tersebut.
“Kami berbesar hati menerima pelantikan beliau sebagai Felo Adjung. Pengalaman beliau akan memperkukuh usaha kami dalam memupuk kolaborasi industri yang memberi impak dan menterjemahkan ilmu kepada sumbangan bermakna kepada masyarakat,” katanya.
Pelantikan selama dua tahun itu mencerminkan komitmen UUM untuk memperkukuh hubungan antara akademia dan industri, selain mengukuhkan peranan Sedania sebagai kumpulan teknologi berasaskan nilai yang menerajui penyelesaian mampan dan patuh Syariah demi manfaat perniagaan dan masyarakat.
Sedania Innovator Berhad ialah syarikat pegangan pelaburan yang memfokus kepada perniagaan berasaskan kelestarian.
Sejak disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada tahun 2015, kumpulan ini telah melabur dalam pelbagai perniagaan inovatif yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon serta pembangunan ekonomi hijau.
Kumpulan ini dipacu oleh empat perniagaan teras utama berorientasikan pengguna dan kelestarian, iaitu Offspring Inc Sdn Bhd (Offspring), Tanamera Tropical Spa Sdn Bhd (Tanamera), FA Herbs Sdn Bhd (FA Herbs) serta Sedania As Salam Capital Sdn Bhd (SASC). - DagangNews.com








