UUE Holdings diunjur catat hasil RM342 juta FY27, untung bersih RM33 juta - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UUE Holdings diunjur catat hasil RM342 juta FY27, untung bersih RM33 juta - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 April - UUE Holdings Berhad dijangka mencatat hasil bagi tahun kewangan 2027 (FY27) sebanyak RM342 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) sekitar RM33 juta, disokong oleh jangkaan peningkatan pengebilan serta pengisian semula kontrak yang berterusan pada kadar kira-kira RM320 juta setahun.

 

RHB Research berkata unjuran tersebut lebih optimistik berbanding unjuran syarikat yang disifatkan firma penyelidikan tersebut sebagai konservatif.

 

Dalam pertemuan bersama wakil syarikat baru-baru ini, pengurusan menganggarkan pertumbuhan hasil sekitar 20% atau RM250 juta dan peningkatan PAT kira-kira 45% antara RM31 juta hingga RM32 juta.

 

RHB Research berkata sasaran tersebut adalah konservatif, memandangkan syarikat mempunyai buku tempahan belum dilaksanakan berjumlah RM536.4 juta, dengan panduan semasa hanya membayangkan kadar penukaran sekitar 45%.

 

"Walaupun mengambil kira margin yang sedikit tertekan susulan campuran kontrak yang lebih besar, jumlah volum kerja yang tinggi dilihat mampu menyokong pertumbuhan pendapatan dan keuntungan keseluruhan syarikat," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

RHB Research berkata, pemulihan margin pula dijangka dipacu oleh peningkatan sumbangan bil dari Singapura susulan kelulusan projek baharu dan peningkatan kadar pelaksanaan kerja. 

 

Pada masa sama, saham UUE dilihat diniagakan pada penilaian menarik iaitu sekitar 10 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) hadapan dua tahun, berbanding purata rakan setara sebanyak 13.2 kali.

 

Dari segi prospek kontrak, UUE mempunyai saluran tender yang sihat dianggarkan sekitar RM340 juta. 

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM166.7 juta disumbangkan oleh projek di Malaysia, termasuk dua potensi projek pusat data melibatkan kerja kuasa dan saluran gentian optik, selain kemudahan interkoneksi bagi ladang solar.

 

Baki tender pula terdiri daripada kontrak kilang dan pengguna akhir berskala kecil, manakala buku tender di Singapura berjumlah SGD57.1 juta (kira-kira RM176 juta), termasuk tender berkaitan Singtel serta projek dasar laut berkaitan tenaga.

 

Pengurusan juga menjangkakan sekurang-kurangnya RM100 juta lanjutan kontrak daripada projek sedia ada bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang memberikan potensi peningkatan tambahan selain kontrak baharu bernilai sekitar RM190 juta yang diperoleh pada FY26.

 

Setakat ini, buku tempahan belum dilaksanakan kekal kukuh pada RM536.4 juta, dengan kira-kira 51% daripadanya berkaitan projek TNB, mencerminkan keterlihatan pendapatan yang mampan dalam tempoh sederhana.

 

Dari sudut margin, strategi pemindahan kos kepada pelanggan serta pendekatan perolehan bahan mentah yang lebih efisien dijangka membantu mengekalkan keuntungan. 

 

Segmen pembuatan kekal paling terdedah kepada tekanan kos, khususnya bahan resin, namun syarikat telah mendapatkan inventori kos rendah untuk tempoh sekitar enam bulan serta mempelbagaikan sumber import.

 

Selain itu, beberapa kontrak TNB membenarkan rundingan semula kos melalui kontraktor utama seperti Sutera Utama Sdn Bhd dan Komasi Engineering Sdn Bhd, sekali gus membantu mengimbangi peningkatan kos operasi. Kontrak baharu juga dilihat menawarkan margin lebih baik.

 

Dalam pada itu, harga sasaran (TP) ditetapkan RHB Research pada RM0.54 berasaskan asas separa cair, melibatkan 912 juta saham serta 89.8 juta opsyen saham pekerja, dengan mengambil kira diskaun ESG sebanyak 4% susulan skor 2.8 yang direkodkan syarikat.

 

Bagi penilaian asas cair penuh termasuk waran, TP dianggarkan lebih rendah iaitu sekitar RM0.49.

 

Namun begitu, firma penyelidikan itu turut mengingatkan beberapa risiko penurunan termasuk kegagalan mendapatkan kontrak baharu, kelewatan dalam kelulusan permit serta peningkatan kos bahan mentah yang lebih tinggi daripada jangkaan, yang boleh menjejaskan prestasi kewangan syarikat. - DagangNews.com