Usul bahas isu pemilikan saham Azam Baki di Dewan Rakyat ditolak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usul bahas isu pemilikan saham Azam Baki di Dewan Rakyat ditolak

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Feb - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul untuk membahaskan isu berkaitan dakwaan pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki yang dibangkitkan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Jelutong).

 

“Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah menerima usul tersebut pada 12 Feb.

 

“Saya telah menelitinya dan saya difahamkan satu jawatankuasa siasatan khas telah ditubuhkan untuk melihat perkara ini. Jawatankuasa khas itu dipengerusikan oleh Peguam Negara,” kata Johari di Dewan Rakyat pada Isnin.

 

Johari berkata, justeru beliau menolak usul untuk membahaskan isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM itu kerana panel berkenaan sedang menyiasat perkara tersebut.

 

Dalam pertanyaannya mengenai status usul itu, Ramkarpal berkata jawatankuasa tersebut bukan mahkamah dan oleh itu, ia tidak seharusnya menghalang Dewan daripada membincangkan perkara berkenaan.

 

Beliau berkata isu itu telah menjadi tajuk utama dan wajar dibahaskan.

 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebelum ini berkata Jawatankuasa Siasatan Khas telah bersidang pada Khamis (19 Feb) untuk merekodkan penjelasan Azam berhubung isu pegangan saham tersebut. - DagangNews.com