UPSI bantu komuniti melalui projek madu kelulut di Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPSI bantu komuniti melalui projek madu kelulut di Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Mac — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan kepakaran dalam bidang keusahawanan dan kelestarian menerusi Projek Penternakan dan Pengkomersialan Madu Kelulut di Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas, Lumut, Perak.
 

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, projek berkenaan adalah manifestasi kepakaran universiti berkenaan dalam menerapkan elemen keusahawanan dan inovasi menerusi pendidikan serta komuniti.
 

Katanya, projek yang bermula pada Julai 2024 hingga April 2025 bertujuan membantu komuniti memperoleh kemahiran serta menjana pendapatan mereka melalui penternakan lebah kelulut secara sistematik dan terkawal.
 

"UPSI bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan akademik, tetapi mahu memastikan ilmu yang diperoleh dapat diterjemahkan dalam bentuk aplikasi yang memberi manfaat kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.
 

Projek berkenaan kata beliau, adalah salah satu contoh bagaimana pihak universiti menyumbang kepakarannya kepada pembangunan komuniti dan ekonomi negara.
 

Ia digerakkan seramai lapan orang mahasiswa dan dua kakitangan UPSI yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Dr Mohd Syariefudin Abdullah.
 

Usaha itu menerima sokongan dana geran pemula berjumlah RM40,000 daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) menerusi Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan.
 

Menurut Md Amin, projek itu turut mendedahkan peserta kepada teknologi terkini dalam industri madu kelulut, sekali gus menyokong aktiviti ekonomi secara lestari.

 

“Projek ini akan menjadi platform kepada mahasiswa sendiri untuk memperoleh pengalaman sebenar dalam bidang keusahawanan dan pertanian lestari," kata beliau.
 

Melalui penglibatan mahasiswa, mereka bukan sahaja dapat mendalami teknik penternakan lebah kelulut, malah memahami keseluruhan rantaian nilai industri dari proses penuaian hingga ke pemasaran produk.
 

upsi

 

Langkah berkenaan kata beliau, juga akan memberi kelebihan kepada mereka apabila menceburi dunia pekerjaan atau menjadi usahawan selepas tamat pengajian.
 

Selain itu, projek ini juga membuktikan bahawa UPSI mempunyai kepakaran yang mampu membantu kerajaan dalam mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan memperkasa industri tempatan.
 

Sementara itu, Pengetua UKLK UPSI, Prof Madya Ts Dr Che Ghani Che Kob berkata, ada empat siri bengkel dan latihan secara praktikal diadakan meliputi proses pemilihan dan pemotongan log, pemasangan topping, pemantauan serta penyelenggaraan log kelulut sehingga ke peringkat penuaian madu.
 

“Sebagai langkah pengkomersialan, madu kelulut yang dihasilkan akan melalui proses pelabelan, pembungkusan serta dipasarkan menerusi platform media elektronik, yang meningkatkan nilai pasaran dan daya saing produk tempatan," katanya dalam kenyataan.
 

Beliau berkata, projek ini bukan sahaja berupaya meningkatkan pendapatan komuniti, malah berperanan dalam mengubah sikap masyarakat untuk lebih berminat menceburi sektor ekonomi berasaskan pertanian moden.
 

Secara tidak langsung katanya, projek itu juga menyumbang kepada usaha kerajaan dalam mencipta peluang pekerjaan dan merancakkan sektor ekonomi negara.
 

Selain memberi manfaat kepada masyarakat, projek ini memberi impak positif kepada UPSI dalam melahirkan mahasiswa holistik dan berciri keusahawanan.
 

"Di samping itu, ia diharap memperkukuhkan keyakinan organisasi luar terhadap kepakaran akademik universiti itu dalam pembangunan produk dan perkhidmatan,” ujar beliau.
 

Terdahulu, para pegawai KPT telah melakukan lawatan pemantauan ke tapak projek pada 25 Februari 2025 dan berpuas hati dengan perkembangan projek yang berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan. - DagangNews.com