Untung Sunway meningkat kepada RM318.6 juta pada 2QFY26, isytihar dividen 3 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung Sunway meningkat kepada RM318.6 juta pada 2QFY26, isytihar dividen 3 sen

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Sunway Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 16.7% kepada RM318.59 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY2026), berbanding RM272.95 juta dalam tempoh sama tahun lalu, disokong prestasi lebih kukuh daripada kebanyakan segmen perniagaannya.

 

Hasil kumpulan turut meningkat 13.4% kepada RM2.91 bilion daripada RM2.56 bilion sebelumnya, dengan pertumbuhan disumbangkan terutamanya oleh segmen pembangunan hartanah dan penjagaan kesihatan, sekali gus mengimbangi kemerosotan hasil daripada perniagaan pembinaan.

 

Prestasi suku tahunan itu turut menyaksikan Sunway mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak tiga sen sesaham yang akan dibayar pada 15 Oktober 2026.

 

Bagaimanapun, hasil segmen pembinaan merosot 38.6% kepada RM779.33 juta pada suku berkenaan berikutan beberapa projek pusat data telah mencapai peringkat puncak pembinaan.

 

Namun begitu, prospek segmen itu terus kukuh apabila kumpulan berjaya memperoleh kontrak baharu bernilai RM6.9 bilion setakat ini, melepasi sasaran asal penambahan kontrak baharu sebanyak RM6 bilion bagi keseluruhan FY2026.

 

Daripada jumlah itu, kira-kira RM2.8 bilion merupakan kontrak berkaitan pusat data, selain kontrak bernilai RM400 juta untuk pembinaan Sunway Medical Centre Iskandar Puteri.

 

Susulan momentum tersebut, Sunway menaikkan sasaran penambahan kontrak baharu bagi FY2026 kepada antara RM7 bilion hingga RM9 bilion, manakala buku tempahan pembinaan tertunggaknya mencapai paras rekod RM10.5 bilion setakat 21 Ogos.

 

Presiden Kumpulan Sunway, Datuk Anuar Taib berkata, kumpulan kekal berhati-hati namun optimis terhadap prospek bagi tahun kewangan 2026.

 

Menurut beliau, keyakinan itu disokong oleh model perniagaan Sunway yang pelbagai, jualan hartanah belum dibil yang kukuh, pengembangan berterusan kapasiti katil penjagaan kesihatan, buku tempahan pembinaan pada paras tertinggi serta perniagaan pendapatan berulang yang berdaya tahan.

 

Dalam segmen pembangunan hartanah, Sunway mencatatkan jualan RM2.3 bilion bagi separuh pertama tahun ini selepas melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM2.7 bilion.

 

Kumpulan menyasarkan jualan hartanah RM4.2 bilion bagi keseluruhan FY2026, manakala jualan belum dibil berada pada RM8.3 bilion.

 

Sehingga akhir Julai pula, Sunway masih mempunyai baki bank tanah seluas 2,338 ekar dengan anggaran GDV sebanyak RM87.7 bilion.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama FY2026, keuntungan bersih kumpulan melonjak lebih 20 kali ganda kepada RM9.73 bilion daripada RM463.51 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala hasil meningkat 10.8% kepada RM5.46 bilion daripada RM4.93 bilion.

 

Lonjakan luar biasa keuntungan itu bagaimanapun didorong terutamanya oleh keuntungan sekali sahaja sebanyak RM9.1 bilion hasil pengukuran semula pelaburan Sunway dalam Sunway Healthcare Holdings Bhd kepada nilai saksama susulan penyenaraian syarikat penjagaan kesihatan itu dan pengelasan semulanya sebagai anak syarikat.

 

Dengan portfolio perniagaan yang pelbagai dan bersepadu, Sunway berkata kumpulan itu berada pada kedudukan baik untuk terus mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia, disokong penggunaan domestik, aktiviti pelaburan serta pertumbuhan struktur dalam sektor penjagaan kesihatan dan infrastruktur digital. - DagangNews.com