KUALA LUMPUR 28 Nov - Sime Darby Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM800 juta pada suku pertama berakhir 30 September 2024 (1QFY25) berbanding RM589 juta pada suku sama tahun lalu didorong sumbangan daripada UMW dan pelupusan tanah Malaysia Vision Valley (MVV).
Kumpulan itu berkata, hasil kumpulan meningkat 30.6% kepada RM18.26 bilion berbanding RM13.98 bilion pada 1QFY24.
Keuntungan bersih teras kumpulan bagi suku tersebut juga meningkat, dengan bahagian UMW menyumbang RM214 juta dalam keuntungan terutamanya daripada perniagaan automotifnya di Malaysia.
Bahagian perindustrian merekodkan keuntungan sebanyak RM343 juta, mencerminkan penurunan kecil sebanyak 4.2%. Walaupun Australasia mencatatkan keuntungan yang lebih rendah terutamanya disebabkan oleh kesan penurunan harga alat ganti, ini telah diimbangi sebahagiannya oleh sumbangan daripada dua anak syarikat baharu kumpulan, Onsite Rental Group dan Cavpower Group.
Bahagian automotif melaporkan keuntungan keseluruhan RM190 juta pada 1QFY25, lebih rendah sebanyak 6.4% berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Jualan kenderaan elektrik (EV) yang kukuh di Singapura membantu mengimbangi cabaran di pasaran lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pihaknya sudah menerima manfaat daripada sumbangan perniagaan Toyota dan Perodua yang ditambahkan ke dalam portfolio Malaysia berikutan pengambilalihan UMW.
"Selain itu, kami juga berjaya menurunkan inventori kami pada suku tersebut berikutan inisiatif pengurangan inventori, ia menghasilkan aliran tunai operasi yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya kekal fokus dalam mengukuhkan perniagaan teras bagi peralatan industri dan automotif dan akan terus merapatkan peluang untuk membuka kunci nilai untuk pemegang kepentingan kumpulan. - DagangNews.com








