Untung bersih VS Industry pada 2QFY25 susut kepada RM15.38 juta akibat cukai lebih tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih VS Industry pada 2QFY25 susut kepada RM15.38 juta akibat cukai lebih tinggi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Mac — VS Industry mencatatkan keuntungan bersih RM15.38 juta ada suku kedua berakhir 31 Januari 2025 (2QFY25), turun daripada RM16 juta pada suku tahun lalu, disebabkan oleh perbelanjaan cukai yang lebih tinggi.
 

Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik itu bagaimanapun menjangkakan keputusan yang memuaskan untuk baki suku tahun kewangannya walaupun tinjauan industri pula lebih berhati-hati dalam beberapa bulan akan datang.
 

Perolehan sesaham kumpulan tersebut adalah susut kepada 0.4 sen berbanding 0.42 sen sebelumnya tetapi pendapatan pula merekodkan RM908.8 juta, meningkat daripada hanya sebanyak RM884.06 juta pada 2QFY24.
 

"Sepanjang tempoh enam bulan terkumpul (1HFY25), keuntungan bersih VS Industry ialah RM45.98 juta, penurunan mendadak daripada RM64.99 juta pada 1HFY24," kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
 

Pendapatan turun kepada RM2.019 bilion daripada RM2.024 bilion dan kumpulan itu berkata prestasi yang lebih lemah berikutan pesanan jualan lebih rendah daripada pelanggan sedia ada dan perbelanjaan operasi lebih tinggi.
 

Faktor lain ialah kadar pertukaran asing yang tidak menggalakkan.
 

Dividen interim kedua sebanyak 0.4 sen telah diisytiharkan, yang akan dibayar pada 28 April 2025, kepada pemegang saham yang terdapat dalam rekod pendeposit syarikat berkenaan pada 14 April 2025.
 

VS Industry dalam ulasan kepada keputusan kewangan itu berkata, bahawa aliran pesanan pelanggan di Malaysia adalah kekal 'sihat secara meluas'.
 

Kumpulan itu berkata ia telah membuat penempatan pesanan yang lebih berhemat memandangkan ketidaktentuan pasaran semasa, potensi gangguan rantaian bekalan dan sentimen pengguna yang lemah.
 

"Kami positif dengan jangkaan model baharu yang dilancarkan oleh pelanggan tertentu, terutamanya menjelang suku terakhir tahun fiskal kami," katanya.
 

Di Filipina, kumpulan itu menjadualkan percubaan pengeluaran dan menjangkakan pengeluaran besar-besaran dapat dilaksanakan dalam dua bulan akan datang.
 

VS Industry mengulangi pandangan jangka panjang positif, disokong oleh asas pelanggan yang kukuh, keupayaan integrasi menegak yang dipertingkatkan, kedudukan kewangan yang teguh dan amalan pengurusan berhemat. - DagangNews.com