Untung bersih Velesto jatuh kepada RM28 juta bagi 1QFY26 berikutan kadar sewaan pelantar lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Velesto jatuh kepada RM28 juta bagi 1QFY26 berikutan kadar sewaan pelantar lebih rendah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 MeiVelesto Energy Berhad mencatatkan penyusutan hampir 47% dalam keuntungan bersih bagi suku pertama FY26 berikutan kadar sewaan harian (DCR) pelantar yang lebih rendah.


Menurut makluman kumpulan berkenaan, situasi tersebut terus menekan prestasi kewangan syarikat minyak dan gas (O&G) itu dengan keuntungan selepas cukai (PAT) Velesto merosot kepada RM28 juta.


Tambahnya, jumlah tersebut jatuh berbanding RM53 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan turut menurun kepada sebanyak RM183 juta daripada RM225 juta ketika 1QFY25.


"Penurunan prestasi itu berlaku susulan purata DCR pelantar menurun kepada AS$108,000 (RM429,291) sehari berbanding AS$127,000 (RM504,840) sehari pada 1QFY25," kata Velesto Energy dalam kenyataan.


Hasil sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) susut kepada RM82 juta berbanding RM113 juta setahun lalu, dengan margin keuntungan selepas cukai (PAT) kepada 15% daripada 23%.


Bagaimanapun jelasnya, kadar penggunaan pelantar didapati meningkat kepada kira-kira 75% berbanding hanya 67% sebelum ini, menunjukkan permintaan operasi yang masih kukuh dalam pasaran serantau.



Velesto Energy_DagangNews2026



Presiden Velesto Energy, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, pasaran pelantar dijangka lebih ketat berikutan tumpuan semula isu keselamatan tenaga dan perbelanjaan modal (capex) banyak syarikat O&G.


“Bagaimanapun kami akan terus memaksimumkan sebarang peluang penggunaan pelantar sedia ada selain memperluaskan lagi pegangan pasaran melalui kerjasama strategik,” kata beliau dalam kenyataan itu.


Menurutnya, kontrak jangka panjang baharu diperoleh bagi pelantar NAGA 2 daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd dijangka mampu mengukuhkan keterlihatan pendapatan syarikat berkenaan pada masa depan.


Velesto Energy jelas Megat Zariman, turut memperoleh kontrak daripada Hibiscus Oil & Gas Malaysia yang menjadi kontrak pertama pelantar jenis 'jack-up' di bawah strategi kerjasama baharu kumpulan.


Setakat April 2026, kumpulan itu memiliki buku tempahan sekitar RM1.1 bilion dan tender aktif bernilai RM3.1 bilion, sekali gus memberi petunjuk positif terhadap prospek pendapatan masa depan.


Pada masa sama, syarikat berkenaan turut mengumumkan pengagihan dividen interim bagi FY26 sebanyak 0.75 sen sesaham kepada semua pemegang sahamnya. - DagangNews.com