KUALA LUMPUR 26 Nov – Pengeluar kabel dan wayar, Southern Cable Group Berhad mencatat lonjakan keuntungan bersih 92.3% kepada RM35.7 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY2025) berbanding RM18.6 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Syarikat itu berkata, prestasi kukuh tersebut berikutan permintaan untuk kabel dan infrastruktur tenaga di Malaysia meningkat dengan sangat cepat susulan projek naik taraf grid nasional, pembangunan infrastruktur baharu dan pertumbuhan pusat data hasil pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Hasil meningkat 16.4% kepada RM446.5 juta daripada RM383.6 juta, didorong permintaan kukuh bagi kabel dan wayar kuasa serta kapasiti output yang 17% lebih tinggi kepada 54,980 km setahun.
“Momentum jualan merangkumi segmen utiliti tenaga, pembinaan, infrastruktur dan peningkatan eksport ke Amerika Syarikat,” kata Southern Cable dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan (9MFY25), keuntungan bersih syarikat itu melonjak 101.3% kepada RM94.8 juta daripada RM47.1 juta pada tahun sebelumnya.
Hasil pula naik 24.3% kepada RM1.26 bilion berbanding RM1.01 bilion.
Southern Cable berkata, pertumbuhan ketara ini dipacu skala ekonomi lebih besar, kecekapan operasi dan campuran produk bernilai tinggi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Southern Cable, Tung Eng Hai berkata, negara sedang menyaksikan peralihan besar dalam permintaan tenaga dengan peningkatan naik taraf grid nasional dan pembangunan kemudahan besar seperti pusat data yang memerlukan infrastruktur kuasa baharu.
“Kami sedang melabur untuk pertumbuhan mampan dan mengukuhkan portfolio bernilai tinggi. Pengembangan ini akan memperkukuh keupayaan dalam segmen voltan ultra tinggi (EHV).
“Dengan memulihkan pengeluaran kabel EHV dan menggandakan kapasiti rod aluminium, kami berada dalam kedudukan untuk menyokong aspirasi rangkaian transmisi negara serta mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya.
Ketika ini, projek membesarkan kilang pengeluaran di Kuala Ketil, Kedah sedang berjalan mengikut jadual. Projek itu membabitkan pembinaan kilang baharu di atas tapak seluas 7.9 ekar bersebelahan operasi sedia ada.
Ia merangkumi pemasangan relau kapasiti tinggi pada suku pertama 2026 bagi menggandakan pengeluaran rod aluminium kepada lebih 60,000 tan setahun.
Pembangunan seterusnya melibatkan integrasi barisan pengeluaran baharu untuk kabel voltan sederhana hingga tinggi (MV-HV) dan kabel voltan sederhana hingga ultra tinggi (MV-EHV), dengan keseluruhan projek dijangka siap pada 2027.
Setakat 30 September 2025, kumpulan memiliki buku pesanan RM1.04 bilion yang memberikan aliran pendapatan sehingga 2026. Pesanan tersebut meliputi pembekalan kabel bawah tanah dan konduktor kepada syarikat utiliti tenaga, sistem penerus dan bateri kepada sebuah syarikat telekomunikasi, serta pesanan daripada kontraktor EPCC, peruncit semula dan pelanggan lain.
Ditubuhkan pada 1993, Southern Cable merupakan pengeluar utama kabel dan wayar untuk penghantaran dan pengagihan kuasa, komunikasi serta aplikasi kawalan dan instrumentasi. Menerusi fasiliti di Kuala Ketil dan Sungai Petani, kumpulan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 20,400 tan rod aluminium, 18,000 tan rod kuprum, 54,980 km kabel dan wayar serta 7,800 tan kompaun plastik.
Produk Southern Cable digunakan dalam sektor tenaga, telekomunikasi, pembinaan, infrastruktur, pembuatan, pemprosesan minyak dan gas serta petrokimia. - DagangNews.com








