KUALA LUMPUR 25 Ogos - Pengeluar makanan ruji, Malayan Flour Mills Berhad (MFM) mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM28.1 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2Q25), meningkat 49.1% berbanding RM18.8 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan keuntungan itu dipacu oleh prestasi kukuh perniagaan Tepung dan Dagangan Bijirin (Flour and Grain Trading – FGT) di Malaysia dan Vietnam, yang melonjakkan hasil Kumpulan sebanyak 6.4% tahun ke tahun kepada RM800.2 juta berbanding RM751.9 juta sebelumnya, selain sumbangan positif daripada PT Bungasari Flour Mills di Indonesia, syarikat usaha sama yang dimiliki 30%.
Perniagaan FGT di Malaysia dan Vietnam terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, di mana segmen FGT dan Akuafeed bersama-sama menjana keuntungan selepas cukai sebanyak RM30.6 juta, meningkat 42.4% berbanding RM21.5 juta pada 2Q24.
PT Bungasari kembali mencatat keuntungan operasi dalam 2Q25, merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.9 juta berbanding kerugian selepas cukai RM11.7 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Ini menyumbang kepada bahagian keuntungan sebanyak RM0.9 juta kepada MFM, berbanding kerugian sebanyak RM3.5 juta sebelum ini. Pemulihan itu disokong oleh margin sumbangan yang lebih kukuh dan peningkatan jualan tepung di Indonesia.
Bagi segmen Integrasi Unggas (Poultry Integration – PI) yang diusahakan melalui usaha sama 51%-dimiliki Dinding Tyson Sdn. Bhd. (DTSB), keuntungan selepas cukai menurun kepada RM4.5 juta berbanding RM8.4 juta tahun lalu, terkesan daripada kerugian nilai saksama ke atas aset biologi yang diiktiraf pada suku berkenaan.
Dengan itu, bahagian keuntungan MFM daripada segmen PI susut kepada RM2.3 juta berbanding RM4.3 juta. Bagaimanapun, tidak termasuk kesan perakaunan ini, prestasi asas segmen kekal sihat dengan volum pengeluaran ayam pedaging meningkat 15.6% pada 2Q25.
Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye berkata, prestasi kukuh pada 2Q25 mencerminkan dinamik pasaran yang bertambah baik di negara-negara operasi syarikat; perniagaan tepung di Malaysia dan Vietnam terus konsisten, manakala segmen unggas menyaksikan pengeluaran ayam pedaging lebih tinggi untuk memenuhi permintaan domestik yang meningkat.
"Pada masa yang sama, operasi tepung usaha sama kami di Indonesia berjaya membuat pemulihan dengan keuntungan sederhana," katanya dalam kenyataan hari ini.
"Menjelang baki tahun ini, kami kekal optimis walaupun cabaran masih wujud, khususnya di Indonesia. Kami akan terus menghadapinya dengan berhemat sambil memastikan bekalan makanan ruji yang stabil kepada pasaran.”
Bagi separuh pertama tahun berakhir 30 Jun 2025 (1H25), hasil Kumpulan meningkat 6.4% kepada RM1,599.5 juta berbanding RM1,503.5 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan bersih naik 7.8% kepada RM61.2 juta berbanding RM56.7 juta.
MFM turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan tarikh ex-dividen pada 10 September 2025 dan tarikh pembayaran pada 25 September 2025. Jumlah pembayaran dividen sebanyak RM18.6 juta itu mewakili 30.4% daripada keuntungan bersih 1H25.
Dalam suku berkenaan, MFM turut menyiapkan pemasangan barisan pengilangan tepung baharu berkapasiti 600 metrik tan (MT) sehari di fasiliti Lumut, Sitiawan, Perak. Pelaburan bernilai RM31.5 juta ini menambah kapasiti pengeluaran Kumpulan di Malaysia sebanyak 33% kepada 2,400 MT sehari.
Kemudahan baharu ini dilengkapi teknologi pengilangan terkini dengan kecekapan pengeluaran tinggi, automasi bersepadu, penggunaan tenaga lebih rendah dan sisa minimum.
Langkah strategik ini mengukuhkan rancangan pertumbuhan jangka panjang MFM bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat terhadap produk berasaskan tepung, serta memperkukuh peranan syarikat dalam menyokong keselamatan makanan negara. - DagangNews.com








