Untung bersih PLS Plantations naik 6 kali ganda pada 1Q kepada RM3.46 juta, dipacu sumbangan operasi ladang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih PLS Plantations naik 6 kali ganda pada 1Q kepada RM3.46 juta, dipacu sumbangan operasi ladang

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 1 Dis – Saham PLS Plantations Bhd melonjak ketara pada sesi dagangan pagi ini apabila keuntungan bersih syarikat itu meningkat hampir enam kali ganda keuntungan bersih syarikat itu bagi tempoh suku pertama.

 

Kaunter Pasaran Utama itu dibuka 3.70% lebih tinggi pada 42 sen, sebelum melonjak setinggi sembilan sen atau 22.22% kepada paras tertinggi pagi 49.5 sen dalam dagangan aktif. 

 

Saham berkenaan berada pada paras tertinggi tujuh bulan pada 48 sen, meningkat enam sen atau 17.28%, dengan 7.37 juta saham diniagakan, menjadikannya antara hari dagangan paling aktif dalam tempoh hampir dua tahun.

 

Pada harga 48 sen sesaham, nilai pasaran PLS Plantations dianggarkan sebanyak RM206.27 juta. 

 

Bagaimanapun, dari sudut prestasi setakat tahun ini, saham berkenaan masih susut 8.57% berbanding paras pembukaan 52.5 sen pada 2 Januari.

 

Dari segi prestasi kewangan, PLS Plantations mencatatkan lonjakan untung bersih hampir enam kali ganda kepada RM3.46 juta bagi suku pertama berakhir 30 September, berbanding RM505,000 dalam tempoh sama tahun lalu. 

 

Prestasi lebih kukuh itu didorong oleh margin kasar yang lebih tinggi serta peningkatan ketara dalam pendapatan lain.

 

Keuntungan operasi syarikat turut meningkat lebih dua kali ganda kepada RM7.73 juta, disokong oleh kenaikan keuntungan kasar sebanyak 36.8% kepada RM10.24 juta.

 

Syarikat memaklumkan peningkatan prestasi ini turut dibantu oleh perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, selain lonjakan mendadak pendapatan lain kepada RM1.15 juta daripada RM170,000 sebelum ini.

 

Dari sudut pendapatan, hasil suku tahunan meningkat 15.5% kepada RM29.67 juta, berbanding RM25.68 juta setahun lalu, dipacu sumbangan lebih kukuh daripada operasi perladangan meskipun keuntungan nilai saksama aset biologi adalah lebih kecil.

 

PLS Plantations merupakan sebuah kumpulan pertanian dan perladangan yang memfokuskan kepada penanaman, pengurusan serta pembangunan ladang hutan di Malaysia, dengan aktiviti teras merangkumi pengurusan hutan mampan, penanaman kayu komersial, agroforestri serta penanaman buah-buahan tropika termasuk durian. 

 

Operasi utamanya berpangkalan di Kedah. - DagangNews.com