Untung bersih Pantech susut kepada RM14.56 juta pada 2QFY26 disebabkan jualan lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Pantech susut kepada RM14.56 juta pada 2QFY26 disebabkan jualan lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Okt - Untung bersih Pantech Group Holdings Berhad pada suku kedua berakhir 31 Ogos 2025 (2QFY26) susut kepada RM14.56 juta berbanding RM20.73 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan jualan serta sumbangan lebih rendah dalam segemen bahagian pembuatan keluli karbon.

 

Hasil kumpulan itu bagi suku berkenaan juga susut sedikit kepada RM227.36 juta berbanding RM252.13 juta.

 

Bagi 1HFY26, keuntungan bersih kumpulan susut kepada RM25.49 juta berbanding RM47 juta disebabkan penyusutan hasil kepada RM448.1 juta berbanding RM507.86 juta pada 1HFY25.

 

"Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Ogos 2025, bahagian perdagangan mencatatkan hasil luaran lebih rendah sebanyak RM184.92 juta berbanding RM240.64 juta manakala keuntungan segmen sebanyak RM19.68 juta, menurun daripada RM26.83 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

 

"Penurunan hasil dan keuntungan tempoh enam bulan tersebut adalah terutamanya disebabkan oleh permintaan jualan yang lebih rendah daripada industri minyak dan gas tempatan serta sektor lain.

 

"Sementara itu, bahagian pembuatan mencatatkan hasil luaran yang sedikit lebih rendah sebanyak RM263.19 juta berbanding RM267.22 juta bagi tempoh enam bulan tahun kewangan sebelumnya (FY25), serta keuntungan kasar segmen sebanyak RM30 juta, menurun daripada RM39.94 juta pada tempoh yang sama tahun lalu," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu kekal berhati-hati dengan cabaran makroekonomi yang berterusan, termasuk perubahan dasar perdagangan, ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, serta tekanan kos yang meningkat.

 

"Sebagai reaksi, pihaknya terus memberi keutamaan kepada langkah mitigasi risiko secara proaktif melalui pengurusan kos yang berdisiplin dan kecekapan operasi, dengan memanfaatkan automasi, penambahbaikan proses, kehadiran pasaran yang pelbagai, kepakaran industri serta keupayaan pembuatan bagi menghadapi ketidaktentuan ini dengan berkesan," katanya.

 

Melangkah ke hadapan, kumpulan akan terus menumpukan usaha untuk memperkukuh segmen perniagaan teras, meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan, serta meneroka peluang pertumbuhan strategik di dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia utama penyelesaian paip, injap dan kelengkapan bagi sektor minyak dan gas, petrokimia dan industri.- DagangNews.com