Untung bersih MN Holdings meningkat tiga kali ganda kepada RM21.59 juta pada 1QFY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih MN Holdings meningkat tiga kali ganda kepada RM21.59 juta pada 1QFY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov – Untung bersih MN Holdings Berhad meningkat lebih tiga kali ganda kepada paras tertinggi RM21.59 juta pada suku pertama berakhir 30 September 2025 (1QFY2026) berbanding RM7.04 juta pada 1QFY2025.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MN Holdings berkata, pendapatan bagi suku ini meningkat dua kali ganda kepada RM214.10 juta berbanding RM103.11 juta tahun sebelumnya.

 

“Peningkatan ini dipacu oleh pelaksanaan projek yang dipercepat dalam divisyen kejuruteraan stesen janakuasa. Segmen kejuruteraan stesen janakuasa kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama Kumpulan, menyumbang RM189.04 juta atau 88% daripada jumlah pendapatan, mencatat peningkatan 285% tahun ke tahun (“YoY”). 

 

“Pendapatan daripada segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah pula berjumlah RM25.06 juta, mencerminkan sumbangan stabil daripada kerja-kerja utiliti dan terowong yang sedang dijalankan,” katanya syarikat itu.

 

Seiring dengan asas pendapatan yang lebih kukuh, keuntungan sebelum cukainya meningkat 200% YoY kepada paras tertinggi baharu RM29.65 juta daripada RM9.89 juta pada 1Q FY2025.

 

MN Holdings berkata, pendapatan pada 1QFY2026 meningkat 19% suku ke suku (“QoQ”) daripada RM179.42 juta pada 4Q FY2025, disokong oleh pengiktirafan kemajuan projek yang lebih kukuh dalam projek-projek stesen janakuasa utama. 

 

“PBT QoQ meningkat 56% daripada RM19.05 juta, mencerminkan margin yang lebih baik dan kecekapan operasi yang berterusan. Secara dinormalisasi, PBT diselaraskan meningkat daripada RM28.77 juta kepada RM32.82 juta, menunjukkan momentum kenaikan yang berterusan,” katanya.

 

t
Pengarah Urusan MN Holdings, Datuk Clement Toh

 

Sementara itu, Pengarah Urusan MN Holdings, Datuk Clement Toh berkata, prestasi kukuh ini mencerminkan kecemerlangan kejuruteraaan Kumpulan yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun. 

 

“Peningkatan ketara daripada projek kejuruteraan stesen janakuasa mencerminkan kemampuan kami untuk melaksanakan kerja infrastruktur bernilai tinggi dan kompleks, sejajar dengan keperluan pengembangan grid nasional.

 

“Dengan pembangunan pusat data, aset tenaga boleh diperbaharui, dan infrastruktur berkaitan air memasuki fasa baru pembangunan, kami menjangka permintaan bagi kabel kuasa, kerja stesen janakuasa, pemasangan utiliti dan terowong akan terus meningkat.

 

“Skala perniagaan yang berkembang, imbangan kewangan yang kukuh, dan kepakaran pelbagai segmen membolehkan kami memanfaatkan peluang struktur ini dengan baik,” katanya. - DagangNews.com