KUALA LUMPUR 25 Nov – McLean Technologies Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM3.04 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY2025), meningkat hampir tiga kali ganda berbanding RM1.14 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, McLean berkata, peningkatan itu didorong lebih banyak jualan perkhidmatan dan operasi dijalankan dengan lebih efisien.
“Hasil McLean bagi 3Q2025 juga meningkat kepada RM17.12 juta berbanding RM16.27 juta pada 3Q2024, manakala margin kasar meningkat daripada 32.1% kepada 40.8% berikutan kawalan kos yang lebih baik dalam kedua-dua aktiviti perniagaan.
“Bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, McLean mencatatkan keuntungan bersih RM8.96 juta berbanding RM2.39 juta pada tempoh sama sebelumnya, dengan hasil meningkat kepada RM49.2 juta daripada RM44.94 juta,” kata McLean dalam makluman tersebut.
Tiada dividen diumumkan bagi suku tersebut.
McLean berkata, prestasi kukuh ini disokong oleh pengambilalihan We Total, peningkatan hasil operasi serta strategi tender yang lebih selektif, sekali gus meletakkan syarikat pada landasan kukuh untuk pertumbuhan berterusan pada tahun 2026.
McLean berkata, berbanding suku sebelumnya (2Q2025), hasil 3Q2025 menurun 2.76% kepada RM17.12 juta akibat penurunan sementara dalam aktiviti pembersihan tepat dan rawatan permukaan.
“Bagaimanapun, margin untung kasar meningkat daripada 38.28% kepada 40.79% kerana peningkatan kecekapan kos. Jumlah aset McLean setakat 30 September 2025 ialah RM76.18 juta, meningkat daripada RM52.38 juta pada akhir 2024.
“Ekuiti milik pemilik syarikat meningkat kepada RM43.37 juta, manakala liabiliti berjumlah RM24.06 juta,” katanya.
Memasuki 2026, McLean menjangkakan pertumbuhan kukuh melalui beberapa inisiatif strategik, termasuk pelancaran perniagaan pelapisan komponen cakera keras (HDD) baharu, pengembangan kapasiti kilang di Thailand, serta pembangunan kilang pembersihan komponen di Johor Bahru.
“Syarikat menjangka akan menerima pesanan pengacuan plastik daripada pelanggan yang akan menambah penglibatan dalam rantaian bekalan HDD.
“Langkah-langkah ini akan mewujudkan aliran perkhidmatan berulang yang lebih kukuh dan menyokong pertumbuhan berterusan serta prestasi lebih mantap pada tahun kewangan 2026 dan seterusnya,” kata syarikat itu. - DagangNews.com








