Untung bersih LB Aluminium susut kepada RM1.88 juta pada suku keempat FY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih LB Aluminium susut kepada RM1.88 juta pada suku keempat FY2026

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Jun - Keuntungan bersih LB Aluminium Bhd susut 73.78% kepada RM1.88 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 30 April 2026 (4QFY26) berbanding RM7.18 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu berikutan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen aluminium.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu melaporkan hasil suku tahunan berjumlah RM226.13 juta, berkurangan 9.76% daripada RM250.59 juta setahun sebelumnya akibat penurunan jumlah jualan dalam segmen aluminium.

 

Bagaimanapun, prestasi itu sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen hartanah.

 

Seiring dengan keputusan kewangan tersebut, LB Aluminium turut mencadangkan dividen pertama dan terakhir sebanyak 2.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026.

 

Bagi keseluruhan TK2026, kumpulan itu merekodkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 52.74% kepada RM55.47 juta berbanding RM36.32 juta pada tahun sebelumnya.

 

Prestasi lebih baik itu didorong oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen hartanah serta pengurangan perbelanjaan operasi, meskipun jumlah jualan dalam segmen aluminium terus mencatatkan penurunan.

 

Hasil tahunan bagaimanapun susut 2.5% kepada RM1.04 bilion daripada RM1.06 bilion yang dicatatkan pada TK2025.

 

Segmen aluminium kekal menjadi penyumbang terbesar kepada hasil kumpulan dengan menyumbang 61.5% daripada jumlah hasil keseluruhan, manakala segmen hartanah menyumbang baki 38.5%.

 

Mengulas prospek semasa, LB Aluminium berkata segmen aluminium berdepan cabaran akibat kenaikan kos bahan mentah susulan ketidaktentuan harga aluminium global.

 

Namun, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat telah membantu mengurangkan sebahagian tekanan kos tersebut.

 

"Kumpulan akan terus memantau kos operasi dan harga jualan secara berhati-hati bagi memastikan margin keuntungan dapat dikekalkan dalam persekitaran pasaran yang mencabar," katanya.

 

Bagi segmen hartanah, kumpulan menjangkakan projek pembangunan sedia ada seperti PSV 1 Residence dan PSV 2 Residence akan terus menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan pada masa hadapan.

 

Menurutnya, sumbangan itu akan disokong oleh pengiktirafan baki kerja dalam kemajuan serta hasil belum dibilkan daripada jualan terkumpul projek-projek berkenaan. - DagangNews.com