Untung bersih Kerjaya Prospek 4Q25 dijangka melonjak hingga 35% YoY kepada RM70 juta - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Kerjaya Prospek 4Q25 dijangka melonjak hingga 35% YoY kepada RM70 juta - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Feb – Kerjaya Prospek Group Bhd dijangka mencatat pertumbuhan memberangsangkan bagi suku keempat tahun kewangan 2025 (4Q25) didorong kemajuan projek dalam tangan serta sumbangan lebih kukuh daripada segmen pembangunan hartanah, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran (TP) MYR3.35, membayangkan potensi kenaikan sekitar 32% daripada paras semasa selain hasil dividen kira-kira 5%.

 

Bagi 4Q25, keuntungan bersih Kerjaya Prospek diunjurkan dalam lingkungan MYR60 juta hingga RM70 juta, mewakili pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) antara 15% hingga 35%.

 

"Momentum tersebut disokong oleh kadar pengebilan progres yang lebih tinggi daripada projek pembinaan aktif serta sumbangan dua projek hartanah dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM800 juta," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Antara perkembangan utama ialah projek Astrum Ampang di Jalan Jelatek yang merangkumi 5,255 unit SOHO. Projek bernilai RM710 juta itu mencapai pencapaian penting apabila kesemua enam menara kediaman telah melalui proses topping out pada awal Disember 2025. Berdasarkan anggaran, tahap kemajuan projek berkenaan kini sekitar 80% hingga 90%.

 

Selain itu, projek Viera 15 di Shah Alam yang dianugerahkan pada November 2025 bernilai RM100.2 juta turut menunjukkan kemajuan awal yang memberangsangkan dan dijangka siap dalam tempoh 34 bulan.

 

"Projek Seri Embun di Elmina West pula dianggarkan telah mencapai tahap siap sekitar 40% hingga 50% setakat akhir Disember 2025," kata firma itu lagi.

 

Dari segi prospek baharu, RHB menambah sebarang kemenangan kontrak dalam segmen perindustrian dilihat berpotensi menjadi pemangkin penarafan semula saham syarikat.

 

Sebelum ini, KPG memperoleh projek berkaitan fasiliti Texas Instruments di Melaka yang melibatkan kerja bernilai ratusan juta ringgit.

 

Tambah RHB, bBuku tender aktif kumpulan kini dianggarkan berjumlah antara RM1.5 bilion hingga RM2 bilion, dengan lebih 50% terdiri daripada projek pihak berkaitan selain campuran projek kediaman dan perindustrian.

 

Dalam masa sama, pelancaran pembangunan baharu bernilai kira-kira RM1 bilion setahun oleh rakan strategik dijangka berpotensi menjana nilai kontrak antara RM400 juta hingga RM500 juta kepada Kerjaya Prospek.

 

Tambahan pula, baki kerja penambakan bagi pembangunan Andaman Island yang masih sekitar 70% siap membuka ruang kontrak baharu bernilai antara MYR300 juta hingga MYR500 juta.

 

RHB tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan dan mengekalkan TP RM3.35 berasaskan penilaian jumlah bahagian (SOP), termasuk premium ESG sebanyak 2%.

 

Secara keseluruhan, Kerjaya Prospek dilihat berada pada landasan kukuh didorong aliran projek yang stabil serta potensi membuka nilai 89 ekar bank tanahnya di Lembah Klang dan Pulau Pinang dengan anggaran GDV sekurang-kurangnya RM3 bilion. - DagangNews.com