KUALA LUMPUR 20 Nov – Hap Seng Plantations Holdings Bhd mencatatkan penurunan 5.51% dalam keuntungan bersih suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (3QFY2025) disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, keuntungan bersih juga merosot kepada RM52.38 juta berbanding RM55.43 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
“Hasil suku tersebut juga susut 4.35% kepada RM169.55 juta daripada RM177.26 juta disebabkan oleh jumlah jualan produk sawit yang lebih rendah,” Hap Seng Plantations.
Syarikat tidak mencadangkan sebarang dividen bagi suku berkenaan.
Purata harga jualan minyak sawit mentah (CPO) berada pada RM4,320 dalam suku tersebut, meningkat 5.41% berbanding RM4,099 pada 3QFY2024.
Harga isirung sawit pula naik 26.83% kepada RM3,464 daripada RM2,731.
Bagaimanapun, jumlah jualan CPO turun 10% tahun ke tahun kepada 33,219 tan berbanding 36,777 tan, manakala jualan isirung sawit berkurang 22% kepada 6,673 tan daripada 8,525 tan.
Penurunan jumlah jualan ini disebabkan pengeluaran CPO dan isirung sawit yang masing-masing merosot 17% dan 22% ekoran kadar perahan yang lebih rendah serta pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang menyusut.
Hap Seng Plantations berkata, situasi itu berlaku disebabkan keadaan cuaca (hujan) dan trend bermusim hasil tuaian disebabkan perubahan corak pengeluaran.
“Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, keuntungan bersih Hap Seng Plantations jatuh 21% kepada RM94.52 juta daripada RM119.63 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
“Hasil kumpulan turut merosot 2.7% kepada RM505.08 juta daripada RM519.08 juta,” katanya.
Kumpulan itu berkata, prestasi lebih lemah bagi tempoh tersebut dipengaruhi kerugian daripada pelarasan nilai saksama aset biologi sebanyak RM3.4 juta, berbanding keuntungan RM19.8 juta tahun sebelumnya.
Hap Seng Plantations menjangka pasaran minyak sawit kekal berada di bawah tekanan berikutan pengeluaran yang tinggi dijangka pada November dan Disember akibat perubahan cuaca, permintaan import yang lemah dari India selepas perayaan Deepavali, kemungkinan peningkatan import kacang soya China dari Amerika Syarikat susulan perbincangan perdagangan terkini serta harga minyak mentah global yang semakin rendah.
Namun, syarikat tetap optimis kerana pengecualian tarif oleh Amerika Syarikat terhadap minyak sawit Malaysia akan memberikan kelebihan daya saing kepada syarikat tempatan berbanding minyak sawit Indonesia di pasaran Amerika Syarikat, sekali gus membuka potensi pertumbuhan pasaran. - DagangNews.com








