Untung bersih Glostrext RM3.48 juta pada 2QFY2026 hasil projek pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Glostrext RM3.48 juta pada 2QFY2026 hasil projek pusat data

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Nov – Glostrext Bhd mencatat keuntungan bersih empat kali ganda kepada RM3.48 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (2QFY2026) iaitu paras tertinggi sepanjang sejarah syarikat. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Glostrext berkata, peningkatan ini disokong oleh projek pusat data yang kini mula memberikan sumbangan positif kepada prestasi kumpulan.

 

“Hasil suku kedua juga meningkat lebih dua kali ganda kepada RM16.48 juta berbanding tahun sebelumnya, sumbangan daripada bil projek yang lebih tinggi,” kata syarikat itu dalam makluman tersebut.

 

Glostrext, yang menyediakan perkhidmatan berkaitan pemancangan, struktur dan geoteknikal, menyasarkan untuk mengekalkan pertumbuhan kukuh bagi baki suku tahun kewangan, dengan operasi di Singapura dijangka mendapat sokongan daripada rangkaian projek yang semakin berkembang.

 

Syarikat berkata, penglibatan mereka dalam beberapa projek pusat data di Malaysia menunjukkan permintaan yang semakin meningkat daripada sektor infrastruktur teknologi. 

 

“Bagi separuh pertama FY2026, keuntungan bersih meningkat dua kali ganda kepada RM6.8 juta, manakala hasil melonjak 92% kepada RM30.86 juta, walaupun keuntungan daripada anak syarikat baru diambil alih, Powertecs System Sdn Bhd, lebih rendah,” katanya.

 

Glostrext menjelaskan Powertecs kekal sebagai fokus utama dengan sasaran penambahbaikan secara berperingkat dalam keuntungan melalui pemasaran lebih efektif dan pengambilan pelanggan baru. 

 

Perniagaan ini dijangka berkembang menjadi penyumbang stabil kepada hasil syarikat dari masa ke masa.

 

Syarikat turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 0.5 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen setakat tahun ini satu sen sesaham.  - DagangNews.com