Untung bersih Gas Malaysia susut 18% pada 3QFY2025 disebabkan jualan turun, margin lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Gas Malaysia susut 18% pada 3QFY2025 disebabkan jualan turun, margin lebih rendah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov – Untung bersih Gas Malaysia Bhd merosot 18.03% kepada RM95.08 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2025 (3QFY2025) berbanding RM115.99 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, penurunan itu disebabkan oleh jumlah jualan gas asli serta margin keuntungan purata gas asli yang lebih rendah.

 

“Selain itu, perbelanjaan pentadbiran dan kos kewangan yang lebih tinggi serta sumbangan keuntungan lebih rendah daripada syarikat usaha sama turut menyebabkan prestasi keuntungan merosot.

 

“Hasil yang diperolehi pada 3QFY2025 juga menyusut 12.05% y-o-y kepada RM1.87 bilion daripada RM2.13 bilion pada 3QFY2024,” Gas Malaysia dalam makluman tersebut.

 

Pendapatan sesaham sebanyak 7.41 sen dalam 3QFY2025, berbanding 9.03 sen suku yang sama tahun 2024.

 

Gas Malaysia tidak mencadangkan sebarang dividen bagi suku yang dilaporkan.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY2025 (9MFY2025), keuntungan bersih Gas Malaysia susut 10.45% y-o-y kepada RM294.34 juta daripada RM328.68 juta dalam 9MFY2024. 

 

Hasil bagi 9MFY2025 turun 7.8% kepada RM5.52 bilion berbanding RM5.99 bilion pada 9MFY2024.

 

Selain itu, kos pentadbiran meningkat kepada RM37.52 juta daripada RM29.64 juta, manakala kos kewangan turut meningkat kepada RM4.88 juta daripada RM3.63 juta. 

 

Sumbangan daripada syarikat usaha sama juga menurun, sekali gus menjejaskan keuntungan bersih.

 

Gas Malaysia berkata, ia akan terus memberi fokus kepada pengurusan kos yang berhemah, kecemerlangan operasi, dan memastikan bekalan gas asli yang stabil untuk pelanggan di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

“Kami sedang melaksanakan inisiatif strategik di bawah visi jangka panjang, termasuk pengembangan ke dalam segmen perniagaan baharu serta peningkatan keupayaan untuk menyokong pertumbuhan lestari.

 

“Memandangkan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu dan kos operasi yang meningkat, syarikat menjangkakan suku-suku akan datang memerlukan pelaburan tambahan untuk kajian persediaan dan projek pertumbuhan.

 

“Namun komitmen terhadap kecekapan operasi dan pengurusan kos akan terus menjadi keutamaan,” kata Gas Malaysia.- DagangNews.com