Untung bersih Axis-REIT melonjak 47% kepada RM133.9 juta pada 4QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Axis-REIT melonjak 47% kepada RM133.9 juta pada 4QFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan – Axis Real Estate Investment Trust mencatatkan prestasi kewangan yang lebih kukuh bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (Q4FY2025) dengan pendapatan bersih melonjak 47.1% kepada RM133.9 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pada suku tersebut, Axis-REIT merekodkan jumlah pendapatan amanah sebanyak RM91.3 juta, meningkat 4% berbanding RM87.8 juta pada Q4FY2024. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axis-REIT berkata peningkatan ini disokong oleh pendapatan hartanah yang berdaya tahan serta keuntungan penilaian semula hartanah pelaburan berjumlah RM86.3 juta.

 


“Untuk keseluruhan tahun kewangan 2025, Axis-REIT mencatatkan jumlah pendapatan amanah sebanyak RM364.2 juta, meningkat 13.8% berbanding RM320.1 juta pada tahun sebelumnya, didorong oleh sumbangan sewaan yang lebih tinggi daripada portfolio hartanah,” katanya.

 

Pendapatan bersih bagi FY2025 meningkat 34.3% kepada RM282.1 juta berbanding tahun lalu, mencerminkan pertumbuhan pendapatan yang mampan serta pengurusan kos yang berdisiplin.

 

Axis REIT Managers Berhad, mencadangkan untuk mengagihkan hampir semua keuntungan yang diperoleh pada suku keempat 2025, iaitu 99%, kepada pemegang unit sebagai pengagihan akhir.

 

Pengagihan akhir itu melibatkan agihan pendapatan seunit (DPU) sebanyak 2.75 sen, yang merangkumi bahagian tidak bercukai sebanyak 1.41 sen hasil daripada elaun modal, elaun bangunan industri, pendapatan keuntungan dikecualikan cukai serta pengagihan akhir separa keuntungan pelupusan The Annex.

 

Secara keseluruhan, jumlah DPU bagi FY2025 mencecah 10.55 sen, meningkat 13.8% berbanding 9.27 sen yang diagihkan pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad Leong Kit May berkata prestasi FY2025 mencerminkan kekuatan portfolio sedia ada yang disokong oleh kadar penghunian yang tinggi, pendapatan sewaan yang stabil serta pengurusan aset yang cermat.

 

“Koridor industri utama di Malaysia seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor terus menarik minat syarikat multinasional yang mencari hab logistik dan pembuatan berdaya saing dari segi kos, sekali gus meletakkan Axis-REIT pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

 

Pada tahun 2025, Axis-REIT telah melaksanakan tiga perjanjian jual beli dan membuat tawaran rasmi bersyarat bagi pemerolehan beberapa hartanah industri strategik. 

 

Terbaharu, pemerolehan sebuah hartanah industri di Kawasan Industri Bandar Sultan Suleiman, Port Klang pada 27 Januari 2026 telah meningkatkan jumlah keseluruhan portfolio kepada 70 hartanah, dengan kadar penghunian 94%, keluasan 15 juta kaki persegi dan nilai aset berjumlah RM5.36 bilion. - DagangNews.com