Untung bersih AutoCount melonjak 90.9% kepada RM27.41 juta pada 9MFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih AutoCount melonjak 90.9% kepada RM27.41 juta pada 9MFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Nov – AutoCount Dotcom Berhad mencatatkan keputusan kukuh pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 (9MFY2025) dengan keuntungan selepas cukai melonjak 90.9% kepada RM27.41 juta berbanding RM14.36 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

 

Peningkatan itu disokong permintaan berterusan terhadap perkhidmatan rumusan pendigitalan dan e-invois dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Hasil Kumpulan turut meningkat 34.8% kepada RM61.38 juta berbanding RM45.53 juta pada tempoh sama tahun lalu, dipacu penggunaan lebih tinggi perisian pengurusan kewangan dan modul e-invois AutoCount. 

 

Syarikat itu berkata, sepanjang tempoh tersebut, AutoCount menjana aliran tunai operasi berjumlah RM37.70 juta, mengukuhkan kedudukan kewangan untuk menyokong pengembangan perniagaan, penyelidikan dan pembangunan serta pengagihan dividen.

 

“Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3Q FY2025), AutoCount merekodkan hasil RM15.66 juta dan keuntungan selepas cukai RM5.14 juta. 

 

“Hasil yang sederhana ini dipengaruhi dua faktor sementara iaitu ketiadaan pengiktirafan Geran Digital PMKS seperti tahun lalu, serta penangguhan pelaksanaan e-invois untuk perniagaan berpendapatan bawah RM5 juta seperti diumumkan pada 5 Jun 2025.

 

“Walaupun hasil lebih rendah, margin keuntungan sebelum cukai meningkat kepada 47.8% berbanding 41.5% pada 3Q FY2024, didorong struktur kos yang berskala di mana kos utama seperti perbelanjaan kakitangan kekal sebahagian besarnya tetap,” kata AutoCount.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan AutoCount, YT Choo berkata, keputusan sembilan bulan menunjukkan kekuatan asas Kumpulan walaupun terdapat sedikit kesan akibat daripada penangguhan e-invois.

 

“Keupayaan menjana keuntungan RM27.41 juta bersama aliran tunai yang kukuh membuktikan kebolehskalaan model perniagaan kami. 

 

“Permintaan PKS terhadap penyelesaian pendigitalan terus stabil dan kami yakin dapat mengekalkan momentum pertumbuhan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketika ini, Malaysia sedang melaksanakan e-invois secara berperingkat merangkumi lima fasa bermula Ogos 2024 hingga Julai 2026.

 

Fasa 3 hingga 5 yang melibatkan majoriti besar PKS dijangka menjadi pemacu utama kepada lonjakan penggunaan e-invois antara 2025 hingga pertengahan 2026.

 

AutoCount turut memperkukuh ekosistemnya melalui pelancaran penyelesaian Point-of-Sale (POS) mudah alih untuk mikro-PKS pada suku pertama 2025, yang diintegrasikan dengan AutoCount Cloud Accounting bagi menyokong pembayaran digital dan e-invois.

 

Pada suku berkenaan, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim 1 sen sesaham berjumlah RM5.50 juta, selaras komitmen untuk memberikan pulangan mampan kepada pemegang saham.

 

Kumpulan kini sedang melalui proses pemindahan penyenaraian dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

AutoCount berkata, prospek kekal positif, disokong pelaksanaan e-invois mandatori menjelang 2026, permintaan pendigitalan PKS yang berterusan, struktur kos berskala, penawaran rumusan berasaskan awan dan POS yang semakin berkembang serta kedudukan kewangan yang kukuh. - DagangNews.com