KUALA LUMPUR 20 Feb - Untung bersih AMMB Holdings Bhd pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2024 (3QFY25) menyusut 10% kepada RM486.5 juta berbanding RM543.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya kesan perbelanjaan operasi tinggi dan pendapatan lebih rendah daripada perbankan Islam.
Hasil kumpulan itu bagaimanapun meningkat 7.75% kepada RM1.24 bilion berbanding RM1.15 bilion pada 3QFY24.
Kumpulan itu berkata, untung bersih bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2024 (9MFY25) meningkat kepada RM1.49 billion berbanding RM1.39 billion pada tahun sebelumnya didiorng peningkatan hasil sebanyak RM3.65 billion berbanding RM3.48 billion pada 9MFY24.
Pendapatan faedah bersih (NII) bank meningkat 7.8% kepada RM2.67 bilion, dengan pengembangan 15 mata asas (bps) dalam margin faedah bersih (NIM) kepada 1.94% pada 9MFY25.
Pendapatan bukan faedah (NOII) turun 2.3% kepada RM972.6 juta pada 9MFY25 disebabkan oleh keuntungan pelupusan tidak berulang AmGeneral Insurance Bhd (AmGen) dalam 9MFY24 dan keuntungan dagangan yang lebih rendah daripada perbendaharaan kumpulan dan pasaran diimbangi pertumbuhan berasaskan pendapatan yuran dan perbankan, perbankan pelaburan, pengurusan kekayaan.
Jumlah pendapatan Perbankan Islam berkembang 9.2% kepada RM949.6 juta berbanding RM869.9 juta pada 9MFY24 disebabkan pertumbuhan 10.3% dalam pendapatan pembiayaan bersih.
Perbelanjaan operasi segmen itu meningkat 5.7% kepada RM377.6 juta manakala caj rosot nilai bersih adalah 73.4% lebih rendah YoY kepada RM24.2 juta berbanding RM90.9 juta pada 9MFY24.
Bank itu berkata, pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaannya meningkat 2.2% tahun sehingga kini (YTD) dan 4.4% kepada RM137.1 bilion, didorong pertumbuhan pinjaman perbankan perniagaan sebanyak 9.7% YTD dan 15.2% dari tahun ke tahun.
Nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) kekal stabil pada 1.67%, dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman (LLC) (termasuk rizab kawal selia) sebanyak 101.8%.
Deposit pelanggan, bagaimanapun, jatuh 2.8% YTD kepada RM138.4 bilion kerana usaha pengurusan untuk meningkatkan margin diteruskan.
Deposit semasa meningkat 4.7% YTD kepada RM93.8 bilion manakala baki akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) turun 15.4% YTD kepada RM44.6 bilion, dengan campuran CASA sebanyak 32.2%.
Nisbah ekuiti biasa peringkat 1 (CET1) berasaskan risiko yang dilaksanakan sepenuhnya bank itu berada pada 14.88%, manakala jumlah nisbah modal (TCR) adalah pada 17.62%. Termasuk keuntungan tidak disahkan daripada 3QFY25), nisbah CET1 meningkat kepada 15.33%, dengan TCR meningkat kepada 18.07%.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jamie Ling berkata, pihaknya merekodkan keptusan pendapatan yang kukuh keputusan bagi tempoh sembilan bulan juga adalah memberangsangkan.
"Kami menyampaikan pertumbuhan pinjaman yang kukuh, terutamanya daripada perbankan perniagaan, sambil menyederhanakan pertumbuhan perbankan runcit untuk mengurangkan risiko dan menggunakan semula modal lebih menguntungkan selaras dengan strategi WT29 kami.
"Tahap mudah tunai kami terus mencukupi dan tahap modal kami kukuh," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com








