KUALA LUMPUR 20 Nov – Untung bersih 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd merosot 80.52% pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (3QFY2025), ekoran kos yang tinggi dilaburkan untuk memperluaskan rangkaian 7-Café syarikat.
Sepanjang suku berkenaan, kumpulan itu membuka 277 cawangan 7-Café baharu, menjadikan jumlah keseluruhan cawangan 7-Café sebanyak 748.
7-Elevan berkata, keuntungan bersih suku berakhir 30 Sept 2025 ialah RM2.13 juta atau pendapatan seunit saham (EPS) 0.19 sen, berbanding RM10.93 juta atau EPS 0.99 sen pada 3QFY2024.
“Hasil pada suku tersebut meningkat 6.96% kepada RM795.85 juta, disokong oleh pembukaan 67 cawangan baharu.
“Perbelanjaan operasi meningkat 9.5% atau RM22.9 juta, terutamanya disebabkan kos operasi cawangan yang lebih tinggi, menjadikan jumlah keseluruhan cawangan sebanyak 2,678,” kata 7-Eleven dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu tidak mencadangkan sebarang dividen pada 3QFY2025.
Keuntungan yang lemah turut menjejaskan keuntungan bersih bagi tempoh Januari hingga September, yang merosot kepada RM32.72 juta, susut 26.08% berbanding RM44.27 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
7-Eleven berkata, hasil bagi sembilan bulan pertama 2025 meningkat 8.1% kepada RM2.36 bilion, berbanding RM2.18 bilion pada tahun sebelumnya.
“Bagi prospek masa hadapan, segmen kedai serbaneka kumpulan akan terus memperluaskan rangkaian 7-Café di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Kami juga memfokuskan usaha berterusan untuk mengembangkan jualan kopi premium pada harga kompetitif serta produk label sendiri, bagi memenuhi permintaan pengguna moden,” katanya. - DagangNews.com








