Untung Axiata dikhuatiri merudum kepada RM115 juta bagi 4QFY25 susulan tiada hasil XL – Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung Axiata dikhuatiri merudum kepada RM115 juta bagi 4QFY25 susulan tiada hasil XL – Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Feb — Keuntungan teras Axiata Group Berhad bagi suku keempat 2025 dikhuatiri merudum kepada RM110 hingga RM115 juta susulan ketiadaan sumbangan hasil XL, kata Phillip Capital.


Firma penyelidikan itu menambah, situasi ini dijangka berikutan penggabungan subsidiarinya, PT XL Axiata Tbk di Indonesia dengan PT Smartfren Telecom Tbk dan PT Smart Telcom yang membentuk XLSmart. 


Bagaimanapun, tekanan jangka pendek ini tidak menjejaskan fokus syarikat terhadap strategi baharu Axiata28, yang menyasarkan pertumbuhan terkawal dan pulangan pemegang saham tinggi menjelang 2028.


"Kami namun menjangkakan keuntungan 4QFY25 susut tahun ke tahun (YoY) daripada RM169 juta pada 4QFY24, manakala secara suku ke suku (QoQ), keuntungan mungkin stabil," kata Phillip Capital lagi.

 

 

 

 

 


Situasi berkenaan tambah firma itu disokong pertambahan pelanggan menerusi XLSmart serta pemulihan sederhana perkhidmatan prabayar anak syarikatnya, Robi di Bangladesh dan Dialog di Sri Lanka.


Sementara faktor tekanan mata wang daripada pengukuhan ringgit dijangka sebahagiannya mengimbangi keuntungan Axiata, disamping pelaksanaan strategi Axiata28 (2026–2028) yang memberi fokus baharu.


Antaranya, kecemerlangan operasi telekomunikasi, pengewangan teknologi 5G dan kecekapan berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta perniagaan teknologi dan digital terkini seperti keselamatan siber.


"Ia juga menyasarkan pertumbuhan dividen sesaham 10% YoY serta pengurangan nisbah hutang bersih kepada pendapatan kasar kurang 2.0 kali menjelang 2028 berbanding 2.6 kali pada 3Q25," katanya.


Phillip Capital menambah, pelupusan kepentingan Axiata dalam Edotco dijangka selesai pada 2026, namun risiko pasaran Indonesia boleh menunda penjualan Link Net yang 73.5% dipegang kumpulan ini.


Justeru, firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM2.56 sesaham, dengan masih menekankan faedah operasi dan pertumbuhan yang lebih jelas di bawah strategi 5x5 dan Axiata28.

 

 

 

 

 


Isu pendedahan pasaran luar dan ketidaktentuan mata wang namun mengekang pandangan jangka pendek, dengan risiko penurunan datang daripada prestasi lemah dan kegagalan pengewangan aset.


"Strategi Axiata28 diharap mengimbangi kesan jangka pendek kehilangan hasil XL, sambil menyediakan asas pertumbuhan dan peningkatan pulangan menjelang 2028," kata Phillip Capital. - DagangNews.com