KUALA LUMPUR 28 Nov – Unitrade Industries Berhad kembali mencatatkan pemulihan kukuh pada suku kedua berakhir 30 September 2025 (2QFY2026) dengan keuntungan bersih sebanyak RM5.19 juta berbanding kerugian RM8.51 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pemulihan ini didorong margin lebih baik, kos jualan yang lebih rendah serta pengurangan ketara kerugian kredit.
“Pada suku tersebut, jumlah hasil meningkat kepada RM504.62 juta berbanding RM477.48 juta setahun lalu, manakala keuntungan kasar melonjak kepada RM35.95 juta hampir dua kali ganda dari RM21.85 juta sebelumnya.
“Prestasi suku ini turut disokong oleh peningkatan pendapatan lain kepada RM2.12 juta, serta kerugian hanya RM1.27 juta direkodkan berbanding RM9.54 juta sebelum ini.
“Selepas mengambil kira kos kewangan RM8.02 juta dan cukai RM3.28 juta, syarikat menutup suku tersebut dengan kedudukan kewangan yang kembali positif,” katanya dalam makluman tersebut.
Bagi tempoh enam bulan pertama FY2025, Unitrade mencatat untung bersih RM15.79 juta, dengan RM11.64 juta daripadanya diagihkan kepada pemilik syarikat, melonjak berbanding kerugian RM10.29 juta tempoh sama tahun lalu.
Hasil kumulatif pula meningkat kepada RM906.32 juta, meningkat berbanding RM887.3 juta sebelum ini.
Segmen pemborongan menyumbang RM463.0 juta atau 51.1% daripada jumlah pendapatan, naik 4.9% berbanding 1HFY25 berikutan penekanan kepada produk bermargin tinggi.
Segmen tenaga boleh diperbaharui pula mencatatkan lonjakan 166.3% kepada RM33.2 juta, selaras dengan inisiatif kelestarian kumpulan, termasuk pengedaran panel solar, inverter, bateri dan komponen berkaitan.
Selain itu, segmen kitar semula logam pula menyumbang RM384.7 juta, manakala baki pendapatan datang daripada pembuatan paip dan perkhidmatan sewaan.
Unitrade turut mengumumkan dividen interim sebanyak 0.1 sen sesaham, bersamaan pembayaran RM1.6 juta, menegaskan komitmen kumpulan terhadap nilai pemegang saham.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Nomis Sim Siang Leng berkata, kejayaan pemulihan ini mencerminkan keberkesanan strategi penstrukturan semula operasi dan pemfokusan kepada produk bermargin tinggi.
“Pengembangan segmen kitar semula logam dan pengedaran tenaga solar bukan sahaja memenuhi permintaan bahan binaan tradisional, malah menyokong peralihan industri ke arah pembinaan yang lebih lestari.
“Prospek Unitrade kekal positif dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 bagi 2026-2030 serta peruntukan pembangunan RM81 bilion dalam Belanjawan 2026 yang dijangka meningkatkan aktiviti pembinaan.
“Pelancaran Malaysia Steel Industry Roadmap 2035 juga dijangka mencipta pasaran besi dan keluli yang lebih kompetitif dan lestari, memberi manfaat kepada pengedar seperti Unitrade,” katanya. - DagangNews.com








