United Malacca raih RM37.8 juta keuntungan bersih 1QFY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

United Malacca raih RM37.8 juta keuntungan bersih 1QFY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept – United Malacca Bhd mencatat keuntungan bersih sebanyak RM37.8 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 (1QFY2026) meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM13.3 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Kenaikan itu didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang lebih tinggi selain kos pengeluaran lebih rendah. 

 

United Malacca berkata, pendapatan sesaham (EPS) meningkat kepada 18 sen berbanding 6.34 sen sebelum ini.

 

“Hasil suku pertama meningkat 17% kepada RM191.6 juta daripada RM163.9 juta. 

 

“Harga purata minyak sawit mentah meningkat sedikit kepada RM4,001 setiap tan daripada RM3,989, manakala harga isirung sawit PK melonjak 30% kepada RM3,151 setiap tan daripada RM2,415,” kata United Malacca dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Tiada dividen diumumkan bagi tempoh berkenaan.

 

Operasi syarikat itu di Malaysia mencatat kenaikan 42% dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM56.7 juta manakala operasi di Kalimantan, Indonesia pula melonjak 246% kepada RM9.34 juta.

 

United Malacca menjangka pengeluaran tandan buah segar (FFB) lebih tinggi bagi tahun kewangan 2026, disokong oleh profil umur pokok yang lebih baik dan peningkatan kecekapan operasi.

 

Syarikat berkata, ia akan terus menumpukan kepada mekanisasi, produktiviti buruh, kecekapan kos dan hasil minyak yang lebih tinggi, serta mengekalkan prestasi memuaskan jika harga CPO kekal pada tahap semasa. - DagangNews.com