UIAM terima Anugerah Emas Kecemerlangan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Industri 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UIAM terima Anugerah Emas Kecemerlangan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Industri 2024

Rektor UIAM, Prof Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar (tengah) menerima Anugerah Emas MiSHA 2024 daripada Presiden MiSHA pada satu majlis khas di UIAM Gombak.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 12 Mei – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menerima Anugerah Emas dalam kategori Anugerah Kecemerlangan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Industri MiSHA 2024. Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang UIAM dalam sektor keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di Malaysia.

 

Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA), Aziz Basiran, dalam satu majlis khas yang berlangsung di UIAM Kampus Gombak. Rektor UIAM, Prof Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, menerima anugerah tersebut bagi pihak universiti.

 

Penganugerahan Anugerah Emas ini menjadikan UIAM satu-satunya universiti awam yang diiktiraf oleh MiSHA atas komitmennya dalam menjaga keselamatan dan kesihatan pekerja serta komuniti kampus.

 

Menurut Timbalan Rektor (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan) UIAM, Prof. Dr. Mohamed Aslam Mohamed Haneef, kejayaan ini adalah hasil usaha yang dijalankan oleh semua pihak dalam memastikan keutamaan keselamatan kampus.

 

"Tahniah kepada Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHBE) UIAM dan semua yang terlibat dalam usaha menjadikan kampus UIAM satu tempat pekerjaan yang baik persekitaran dan keselamatan. Kami berharap agar usaha ini terus dipertingkatkan dalam menjaga keselamatan pekerjaan di kampus-kampus UIAM," katanya.

 

Sementara itu, Presiden MiSHA, Aziz Basiran, menyatakan bahawa kejayaan yang diraih ini menunjukkan bahawa UIAM sangat komited dan mengambil serius segala usaha penjagaan keselamatan dan kesihatan warganya. 

 

"Kejayaan ini membuktikan bahawa UIAM sangat mengambil berat perihal keselamatan dan kesihatan warganya. Semua usaha dan inisiatif yang dilakukan harus dipuji sehingga UIAM dapat menerima Anugerah Emas dalam kategori Anugerah Kecemerlangan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan MiSHA 2024," ujarnya.

 

Majlis penganugerahan MiSHA telah berlangsung pada Januari lalu dan turut dihadiri dan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

 

Pengiktirafan oleh MiSHA ini adalah untuk meraikan organisasi yang berjaya melaksanakan strategi dan amalan pengurusan berdasarkan rangka kerja Prinsip Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHPoP), serta mengiktiraf kecekapan dalam memastikan suasana selamat di tempat kerja.

 

Ini selari dengan visi kerajaan melalui Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025. - DagangNews.com