KUALA LUMPUR 13 Nov – UEM Sunrise Berhad melalui syarikat usahasamanya, Mega Legacy (M) Sdn Bhd, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi melaksanakan program pemulihan menyeluruh untuk meningkatkan kualiti air di Tasik Taman Metropolitan Kepong — salah satu tasik awam terbesar di ibu negara.
Di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak akan melaksanakan Fasa 2 pelan pemuliharaan tasik, yang merangkumi usaha memulihkan keseimbangan ekologi, memperkenalkan sistem rawatan air moden serta membangunkan strategi penyelenggaraan jangka panjang.
Langkah ini turut melibatkan penambahbaikan kemudahan di sekitar tasik bagi menyokong aktiviti rekreasi seperti kayak, perahu naga, larian, berbasikal dan pelbagai aktiviti komuniti.
Sebagai sebahagian daripada komitmen kelestarian alam sekitar, Yayasan UEM, cabang kebajikan UEM Group Berhad, akan menyalurkan geran pembiayaan untuk melaksanakan sebahagian kerja-kerja pemulihan di bawah Fasa 2.
"Pemulihan tersebut disokong oleh penilaian saintifik menyeluruh. Kajian awal mengenai kualiti air telah dijalankan oleh Universiti Malaya pada tahun 2023, diikuti penilaian Fasa 1 pada tahun 2024 yang meneliti aspek sedimen, nutrien dan biodiversiti tasik bagi mengenal pasti penyelesaian teknikal terbaik untuk pelaksanaan seterusnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terletak bersebelahan pembangunan Kiara Bay seluas 73 ekar oleh UEM Sunrise, Taman Metropolitan Kepong meliputi kawasan 219 ekar dengan tasik berkeluasan 106 ekar.
Inisiatif pemulihan ini menyokong aspirasi DBKL untuk memperkaya ruang hijau bandar serta memperkukuh daya tahan alam sekitar Kuala Lumpur, di samping memelihara aset semula jadi yang menjadi nadi kesejahteraan penduduk.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan DBKL membentuk bandar raya yang mampan dan inklusif melalui pendekatan 4P – Public, Private, People Partnership.
“Sebuah bandar yang hebat bukan sahaja selesa didiami, malah juga disayangi (loveable). Melalui kolaborasi ini, kita memulihkan aset awam yang bernilai dan membentuk ruang komuniti yang menggabungkan identiti, warisan serta semangat kebersamaan.
"Tasik Metropolitan Kepong berpotensi menjadi destinasi hijau yang hidup — meraikan keindahan alam semula jadi dan rekreasi bandar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Mega Legacy dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif UEM Sunrise, Datuk Azmar Talib, berkata kerjasama tersebut menegaskan komitmen syarikat dalam membangunkan perbandaran mampan yang seimbang antara pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan ekologi.
“Tasik ini merupakan nadi utama kepada pelan induk Kiara Bay. Tanggungjawab kami adalah memastikan ia kekal sebagai aset awam yang bersih, selamat dan mudah diakses semua.
"Kerjasama ini melambangkan tanggungjawab bersama terhadap kesejahteraan komuniti dan pembangunan lestari untuk generasi masa depan,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif ini sejajar dengan rangka kerja kelestarian UEM Sunrise yang berasaskan empat tonggak utama — Planet, People, Communities dan Governance, dengan matlamat mencipta impak positif yang berkekalan di setiap pembangunan syarikat.
Selain kerja fizikal, pelan pemulihan ini turut merangkumi pemantauan jangka panjang, pendidikan komuniti dan program kesedaran awam, termasuk kolaborasi dengan institusi akademik serta rakan strategik dalam bidang alam sekitar.
Program ini juga menyokong aspirasi Kiara Bay untuk menjadi model pembangunan bandar mampan, memupuk gaya hidup sihat dan aktif, serta memperkukuh hubungan sosial dan kesejahteraan komuniti setempat. - DagangNews.com








