KUALA LUMPUR 24 Jan - Pengendali rangkaian 5G kedua negara, U Mobile Sdn Bhd, merancang untuk membuka 28 cawangan menjelang 2026, berbanding 14 yang ada buat masa ini.
Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Navin Manian berkata, dengan bilangan cawangan yang sedang beroperasi termasuk dua kedai utama, syarikat telekomunikasi itu bercadang untuk memperluas kehadiran fizikalnya bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.
"Pengembangan ini selaras dengan strategi U Mobile untuk menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan, khususnya yang melibatkan pelan pascabayar dan teknologi canggih," katanya dalam satu kenyataan.

U Mobile hari ini melancarkan kedai utama terbesar dan terbaharu di Sunway Pyramid Shopping Mall, dengan keluasan lebih 3,500 kaki persegi.
Kedai utama tersebut menampilkan ruang teknologi interaktif 'dome imersif' pertama di Malaysia, menawarkan pengalaman multimedia interaktif yang dikuasakan oleh realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR) dan realiti campuran.
Selain itu, kedai utama berkenaan turut menyepadukan pelbagai ciri runcit pintar, termasuk tanda harga digital dan CCTV berkuasa AI untuk kemudahan dan keselamatan yang dipertingkatkan.

Antara tarikan lain di cawangan itu termasuk HoloBox, unit kendiri yang menggunakan teknologi pancaran holografik untuk sistem pengurusan giliran, di mana pelanggan boleh berinteraksi dengan avatar holografik.
Ruang pamerannya turut menampilkan konsep rumah pintar bagi menyerlahkan manfaat pelan keluarga U Mobile seperti U Family 128 dan pakej U Home 5G.
Navin berkata, kedai fizikal tersebut dibuka bagi mempertingkatkan pengalaman pelanggan dengan menggabungkan ciri runcit inovatif dengan produk dan perkhidmatan terbaik.

"Kedai utama baharu di Sunway Pyramid ini adalah ruang pintar yang mencerminkan komitmen kami untuk menjadikan teknologi generasi akan datang lebih mudah diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia," jelasnya.
Bagi meraikan pembukaan kedai flagship, U Mobile menawarkan hadiah eksklusif dan promosi bernilai sehingga RM800,000 dari 24 hingga 26 Januari 2025.- DagangNews.com








