TSH Resources ramal harga minyak sawit mentah kekal tinggi pada 1QFY25 akibat kekurangan bekalan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TSH Resources ramal harga minyak sawit mentah kekal tinggi pada 1QFY25 akibat kekurangan bekalan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac - TSH Resources Berhad meramalkan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal tinggi pada 1QFY25 didorong aktiviti penyimpanan semula pada Ramadan dan stok yang semakin berkurangan, kata TA Securities.

 

Katanya, kumpulan itu juga akan menjalankan penanaman baharu pada kadar yang stabil dalam beberapa tahun ke hadapan bagi meluaskan kawasan tanamannya secara progresif. 

 

"Kami bagaimanapun menjangkakan harga MSM akan menghadapi tekanan kesan daripada penuaian besar-besaran kacang soya di Amerika Syarikat (AS)

 

"Selain itu, premium ketara harga minyak sawit berbanding minyak makan lain boleh menghakis daya saing pasarannya, melembapkan permintaan dan mengehadkan kenaikan harga selanjutnya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, bagi FY24, untung bersih teras meningkat sebanyak 63.9% kepada RM126.9 juta didorong keuntungan lebih tinggi daripada segmen produk sawit, kos kewangan yang lebih rendah dan peningkatan sumbangan daripada syarikat bersekutu dan usaha sama.

 

Walaupun terdapat penurunan 12.2% dari segi pengeluaran buah tandan segar (BTS), keuntungan operasi FY24 meningkat sebanyak 12.5% kepada RM254.6 juta, disokong harga minyak sawit yang lebih tinggi.

 

Harga purata MSM meningkat sebanyak 10.4% kepada RM3,793/tan, manakala harga isirung sawit menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 38.7% kepada RM2,396/tan.

 

Firma penyelidikan itu meningkatkan unjuran pendapatan FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 13.1% dan 16.9%, selepas mengemas kini angka FY24 dan memasukkan pengeluaran BTS yang lebih tinggi ke dalam model pendapatan.

 

"Kami mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran (TP) RM1.21 sesaham," katanya. - DagangNews.com