KUALA LUMPUR 20 Nov _ Walaupun TSH Resources Bhd mencatat prestasi kewangan kukuh pada suku ketiga 2025 (3Q25), penganalisis berbelah-bahagi dalam penilaian mereka terhadap prospek saham kumpulan itu.
MBSB Research menyifatkan TSH menawarkan prospek cerah dengan menaik taraf saranan daripada NEUTRAL kepada BELI, dengan harga sasaran baharu yang lebih tinggi pada RM1.48, berbanding RM1.23 sebelum ini.
Semakan tersebut dibuat selepas mengambil kira unjuran baharu EPS FY26 sebanyak 12.4 sen, dipadankan kepada PER 12 kali, hampir menyamai purata lima tahun ke hadapan syarikat.
Firma penyelidikan itu turut menegaskan saham TSH pada masa ini diniagakan pada 10.4 kali PER FY25F, satu paras yang dianggap rendah serta menawarkan ruang penilaian semula.
Tinjauan Positif Dengan Ruang Kenaikan Nilai
Meskipun berdepan kos levi Indonesia yang meningkat, MBSB melihat asas permintaan minyak sawit kekal kukuh dan harga PK yang tinggi akan menyokong margin dalam jangka terdekat.
“TSH berada dalam kedudukan yang baik untuk mengekalkan momentum hasil, didorong oleh kos pengeluaran yang lebih rendah serta kenaikan volum jualan,” kata firma itu.
Dengan peningkatan unjuran pendapatan dan faktor penilaian yang menarik, prospek TSH Resources dinilai positif menuju FY26.
Sementara itu Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, walaupun TSH mencatat prestasi kewangan lebih kukuh, firma itu mengekalkan saranan HOLD ke atas saham tersebut memandangkan potensi kenaikan harga saham yang terhad serta ketiadaan dividen.
Harga sasaran baharu dinaikkan kepada MYR1.37, berasaskan 11 kali PER FY26E, berbanding penilaian sebelumnya MYR1.21 pada 10 kali PER FY25E, sejajar dengan purata lima tahun terkini syarikat tersebut.
Menurut Maybank, walaupun pengeluaran FFB 9M25 meningkat 3% YoY, ia masih rendah berbanding sasaran awal pertumbuhan 7% YoY bagi FY25E.
Output dijangka menurun secara bermusim pada November dan Disember. Justeru, unjuran FFB FY25E-27E disemak turun sebanyak 5%/3%/1%, membawa kepada unjuran baharu pertumbuhan +1%/+5%/+4% masing-masing.
Maybank turut menyemak naik unjuran ASP industri kepada MYR4,330/t bagi 2025E dan MYR4,100/t bagi 2026E, sekali gus meningkatkan unjuran EPS teras FY25E/26E kepada +11%/+4%, manakala FY27E hampir tidak berubah.
Maybank berkata, TSH terus aktif dalam program pembelian balik saham, dengan jumlah kira-kira 93.18 juta saham — bersamaan 6.7% daripada jumlah sahamnya — dibeli dari pasaran terbuka sejak 1 Januari 2025. Kini, syarikat memegang 108 juta saham sendiri, mewakili 7.8% modal diterbitkan.
Katanya, kedudukan tunai bersih TSH kekal kukuh pada MYR82 juta setakat 30 September 2025.
"Walau bagaimanapun, ketiadaan pembayaran dividen terus menjadi faktor yang mengekang daya tarikan saham ini," kata firma itu. - DagangNews.com








